Sindiket godam kad kredit, debit libat mangsa di Timur Tengah tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket godam kad kredit, debit libat mangsa di Timur Tengah tumpas

YAHAYA Othman (tengah) menunjukkan barangan rampasan digunakan sindiket menggodam kad kredit dan debit melibatkan mangsa dari Timur Tengah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis memberkas dua individu termasuk seorang warganegara asing kerana dipercayai terlibat sindiket menggodam kad kredit dan kad debit bank melibatkan mangsa-mangsa dari negara Timur Tengah dalam serbuan Operasi Dadu di sebuah rumah teres di sini.

Bertindak atas maklumat yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan melakukan serbuan di premis terbabit, 17 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati, suspek pertama merupakan warga tempatan berusia 23 tahun berasal daripada Port Klang, Selangor manakala seorang lagi berusia 24 tahun dari negara China.

Menurutnya, kedua-duanya merupakan penggodam kad kredit dan debit sepenuh masa.

“Susulan tangkapan, polis merampas tiga set komputer yang digunakan untuk menggodam laman sesawang kad kredit dan debit dengan menggunakan server luar negara.

“Polis menemukan 97 telefon bimbit jenis Iphone pelbagai model dan empat telefon bimbit lain jenis Redmi bagi menyimpan data kad kredit dan debit di aplikasi wallet.

“Selain itu, turut dirampas dua USB power supply, 83 kabel mengecas telefon bimbit, tiga rak kayu berwarna putih, 14 terminal pembayaran mudah alih bertujuan mengimbas kad bank/kredit digital bagi mengkreditkan wang daripada kad kredit/debit,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Kuantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, anggaran keuntungan yang diperolehi suspek adalah antara RM20,000 sehingga RM30,000 sehari.

Jelasnya, bagi kerugian yang dialami mangsa-mangsa di negara Timur Tengah, ia masih dalam siasatan pihak polis memandangkan transaksi melibatkan bank di luar negara dan bank di Malaysia.

“Modus operandi suspek adalah dengan mendaftar web palsu dan mempromosikan iklan pembelian barangan bagi menarik mangsa mendaftar butiran kad kredit dan debit. Setelah berjaya menceroboh akaun kad kredit ataupun debit mangsa, butirannya akan dipaparkan dalam laman web sesawang yang dapat dilayari sindiket.

“Hasil siasatan mendapati laman web ini akan diubah setiap hari dipercayai dikawal oleh ahli sindiket yang mana terpapar maklumat nombor 16 angka kad kredit/debit, nama pemilik kad, nama bank, nombor CVV (di belakang kad) tarikh luput dan akan terpapar nombor pin keselamatan(OTP).

“Ahli sindiket itu menggunakan aplikasi wallet iPhone dengan mengimbas kad kredit/debit digital yang terpapar pada skrin komputer dan secara automatik nombor kad kredit/debit digital akan tertera dalam aplikasi wallet iphone.

“Selepas berjaya menggodam kad kredit/debit mangsa di luar negara, ahli sindiket turut memasukkan butiran sejumlah wang dalam mana-mana terminal kad debit/kredit. Kemudian ahli sindiket akan mengimbas menggunakan aplikasi wallet iPhone pada terminal pembayaran dan transaksi berjaya,” katanya.

Kedua-dua saspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk siasatan lanjut dan pihak polis masih mengesan saki baki ahli sindiket. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya