Sindiket pelacuran tumpas, tujuh wanita warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket pelacuran tumpas, tujuh wanita warga asing ditahan

MAZLI Mazlan (tiga dari kiri) memperkata sesuatu kepada anggota polis yang menerima sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan IPK Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu berjaya menumpaskan sindiket pelacuran yang disyaki cuba meluaskan pengaruh ke negeri ini dengan penahanan tujuh wanita warga asing, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mereka yang ditahan ialah empat wanita Thailand, dua wanita warga Indonesia dan seorang daripada Laos berusia antara 23 sehingga 45 tahun.

Katanya, kesemua wanita asing itu ditahan menerusi serbuan di beberapa buah hotel bajet di sekitar daerah ini pada 28 Disember lalu selepas melakukan risikan di seluruh negeri.

“Daripada tujuh wanita berkenaan, hanya empat memiliki pasport manakala tiga lagi gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai berleluasa di Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu, selain tidak menolak kemungkinan merancang untuk bergiat aktif di pulau-pulau peranginan.

Katanya, polis juga percaya kegiatan tidak bermoral ini diatur atau didalangi warga tempatan.

“Kami percaya dengan tertangkapnya wanita asing ini, polis berjaya menumpaskan sindiket persundalan yang cuba memasuki Terengganu sebagai destinasi bercuti pelancong domestik dan antarabangsa,” ujarnya.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan (KK) kerana menyundal.

Selain itu, Mazli menambah, kegiatan persundalan turut membabitkan warga tempatan susulan penahanan dua wanita Melayu menerusi tangkapan berasingan di daerah ini pada Mei tahun lalu.

Katanya, dua wanita tempatan itu dipercayai melakukan aktiviti tidak bermoral menawarkan perkhidmatan seks secara sambilan di daerah ini.

“Polis Terengganu telah menubuhkan pasukan petugas khas atau ‘task force’ bagi memerangi sindiket pelacuran di seluruh negeri daripada terus berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya