Peruntukan: Sokong kerajaan bukan syarat

Peruntukan: Sokong kerajaan bukan syarat

Anwar Ibrahim hadir di Parlimen bagi menjawab soalan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam. – PEJABAT PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau ti­dak pernah meletakkan syarat ke­pada mana-mana ahli Parlimen supaya mengisytiharkan so­ko­ngan kepada kerajaan jika ma­hu mendapatkan peruntukan.

Sebaliknya, kata Perdana Men­teri, beliau hanya memin­ta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan de­ngan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tetapi setakat ini belum ada perundi­ngan rasmi dilakukan.

“Saya tegaskan semula, soal peruntukan tidak usah dipanjangkan, runding dengan baik dan tidak ada syarat ketat. Saya dengar kempen-kempen maki-hamun saya, ini Perdana Menteri tak guna, dia minta sokong dia baru dia bagi peruntukan. Saya tak pernah sebut begitu.

BINCANG

“Saya kata bincang dengan Timbalan Perdana Menteri ke­dua seperti mana kami bincang tatkala Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi Perdana Menteri dan Kota Bharu jadi ahli perundingannya, dia lupa semua itu,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai syarat yang dikenakan ke­pada pembangkang untuk mendapatkan peruntukan.

Perdana Menteri berkata, rundingan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan tetapi ia perlu dilakukan untuk mendapatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Bincang sahajalah, kalau dah tak sanggup bincang, tunggulah, jangan gunakan isu itu, sebab mana-mana ceramah itu makian, kata kita zalim tidak beri peruntukan kepada pembangkang.

“Saya beritahu peruntukan kepada rakyat diteruskan, tidak salur kepada pem­bangkang sehingga rundingan diadakan.

“Kalau nak ada semangat kerajaan dan pembangkang, tapi nak runding pun tak boleh, tak munasabah bagi saya. Dalam tradisi demokrasi pembangkang dan kerajaan, ketua pembangkang dan Perdana Menteri, wakil harus ada di meja perundingan,” katanya.

HALANG

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak pernah menghalang peruntukan kepada mana-mana wakil rakyat.

“Kadang-kadang aneh wakil yang berunding itu ada di belah sana, dia tahu prosesnya, berapa kali berunding, tapi seolah-olah tidak dipedulikan, seolah tak tahu langsung, tak bolehlah begitu,” katanya.

Sementara itu, Anwar meminta Perikatan Nasional (PN) menghentikan segala usaha untuk mengambil alih kerajaan selepas lima ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada beliau.

Terbaharu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan sokongan ke­pada kerajaan Perpaduan.

“Saya faham Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) marah betul.

“Tapi tak marah macam mana, tiap-tiap bulan kata nak ambil alih kerajaan, tiap-tiap bulan ada ahli yang keluar. Jadi maknanya, berhenti igauan untuk nak rampas tebuk atap ini, hentikan dulu,” katanya.

Menurut beliau, pembang­kang seharusnya memainkan peranan lebih baik dan bukan sekadar menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.

“Dia (pembangkang) kempen kita ini menentang Islam, negara Melayu sudah tidak ada, pemimpin Melayu sudah hilang, apa dia sahaja wakil Islam dalam dunia ini, mereka sahaja wakil Melayu di dunia ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×