KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengingatkan kepada semua pemborong dan pembekal agar tidak menyembunyikan keperluan asas terutamanya makanan untuk mengaut lebih keuntungan semasa musim banjir.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sehubungan itu, seramai 127 anggota penguat kuasa KPDN sentiasa membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan keperluan di pasaran.
Menurutnya, beliau memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kegiatan menyembunyikan bekalan keperluan asas ketika musim banjir.
“Isu menyembunyikan bekalan kebiasaannya berpunca daripada pemborong atau pembekal yang ingin mengaut keuntungan lebih apabila khabar angin berkaitan kenaikan harga barangan.
“Semasa musim banjir, tidak berlaku isu sorok bekalan, namun kita tetap membuat pemantauan sepanjang masa terutamanya di sempadan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pemantauan rantaian pengedaran barangan keperluan asas di Jasmine Food Corporation, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azman memberitahu, KDPN Kelantan memberi jaminan bekalan makanan asas dan bahan mentah akan mencukupi bagi menampung keperluan pengguna semasa musim banjir di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya akan memastikan penambahan sekurang-kurangnya 30 peratus bekalan sebagai persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana banjir berlaku.
“Sebanyak 143 pemegang stok mini telah dilantik iaitu 79 premis peruncit (DDR), 52 premis pemborong utama (DDW ) selain 12 premis petrol dan diesel.
“Berdasarkan pengalaman semasa bah besar pada 2014, bekalan keperluan asas terputus ketika banjir dan terpaksa mengambil bekalan dari Subang, Selangor dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Jadi, kita sudah melantik 143 pemegang stok mini di enam daerah iaitu di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang sebagai persediaan sekiranya berlaku banjir atau terputus hubungan dengan negeri lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, sebanyak 26 jenis barang keperluan asas termasuk barang keperluan banjir berada dalam keadaan bersedia bagi memastikan pengguna mendapat bekalan keperluan sepanjang musim banjir.
“Minyak masak, beras, telur, gula, air mineral, lampin dewasa, petrol dan diesel merupakan antara keperluan yang diperlukan semasa banjir.
“Kita turut menyimpan bekalan diesel dan petrol sebagai persediaan sekiranya stesen minyak ditenggalami air sehingga menyukarkan bot-bot dan kenderaan untuk bergerak bagi urusan menyelamat,” ujarnya.-UTUSAN