JOHOR BAHRU: Peniaga Orang Asli mengharapkan mereka mendapat tapak perniagaan lebih selesa untuk menjual hasil tangkapan laut dan sayur-sayuran segar bagi mengantikan lokasi Pasar Orang Asli Bakar Batu di Jalan Bayu Puteri 2, di sini.
Pasar Orang Asli Bakar Batu yang berlatarbelakangkan Sungai Tebrau sudah tidak sesuai kerana bau busuk sampah dari sungai selain peniaga hanya berniaga bawah khemah.
Seorang peniaga, Wahab Yusof, 49, berkata, walaupun lokasi pasar tersebut mudah dikunjungi, namun bau busuk akibat longgokan sampah dari Sungai Tebrau mendatangkan rasa kurang selesa kepada pengunjung.
“Longgokan sampah itu menjadi lebih banyak dihanyutkan dari hulu sungai apabila hujan lebat. Tambahan pula, peniaga di sini menggunakan khemah niaga sahaja, berdepan risiko cuaca seperti hujan lebat dan angin kuat. Ada masanya tidak dapat meniaga kerana cuaca tidak mengizinkan.
“Sebelum ini ada terdengar cakap-cakap pihak berkuasa akan menyediakan tapak pasar baharu untuk kami, struktur berbumbung dan mempunyai gerai sendiri, harap ia dapat dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Sarah Abdullah, 22, berkata, semua peniaga sedia berpindah ke lokasi lebih selesa apatah lagi tapak pasar di sini tanah persendirian dan mereka perlu membayar sewa RM70 sebulan.
Katanya, peniaga di sini berharap lokasi pasar baharu itu nanti perlu berhampiran dengan sungai bagi memudahkan peniaga membawa barang jualan menggunakan bot. – UTUSAN










