SEREMBAN: Sebanyak 69 kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan di Negeri Sembilan menerusi penguatkuasaan dan serbuan Op Tiris tahun ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, daripada jumlah kejayaan operasi sehingga ke hari ini itu, sebanyak 866,982 liter diesel telah dirampas yang melibatkan nilai melebihi RM2.5 juta.
Jelas beliau, daripada keseluruhan 69 kes itu, 46 daripadanya adalah di bawah KPDN manakala 23 kes lagi daripada serahan agensi-agensi penguat kuasa yang lain.
“Seramai 71 orang telah ditangkap dan daripada 69 kes itu, 21 kes telah dikompaun dengan nilai keseluruhan hampir RM300,000.
“Dua kes telah pun dituduh di mahkamah dan telah selesai sabitan dengan nilai denda berjumlah lebih RM50,000,” katanya pada sidang akhbar di satu lokasi serbuan Op Tiris di Jalan Industrial Gala 12, di sini hari ini.
Muhammad Zahir dalam pada itu menambah, daripada 69 kes yang berjaya ditumpaskan itu, majoritinya berlaku di daerah Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah.
“Modus operandi mereka sama iaitu membeli diesel di stesen-stesen minyak di luar seterusnya mereka kumpulkan di stor-stor haram dan kemudian dipindahkan ke lori tangki untuk dijual kepada pihak ketiga.
“Sama ada terdapat penglibatan pihak stesen minyak dalam kesemua kes-kes ini, kami akan melakukan siasatan namun tidak menolak kemungkinan perkara itu wujud,” katanya sambil memberitahu Negeri Sembilan menjadi negeri ketiga tertinggi daripada segi nilai rampasan diesel dalam pelaksanaan Op Tiris ini selepas Sarawak dan Selangor.

Sementara itu, beliau memberitahu, dalam serbuan terbaharu iaitu pada pukul 1 pagi tadi di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Industrial Gala 12 di sini, sebanyak 6,600 liter diesel telah berjaya dirampas dengan nilai dianggarkan sebanyak RM14,190.
“Ia merupakan satu kes serahan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut dirampas di premis itu adalah, tiga buah lori, tangki intermediate bulk container (IBC), peralatan yang digunakan bagi tujuan penyelewengan minyak diesel serta wang tunai RM88,000 yang menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM161,090.
“Lima orang lelaki, warga tempatan berusia 17 hingga 40 tahun telah ditahan kerana disyaki telah melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Dua kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya lagi.-UTUSAN.










