KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan memberi amaran akan mengenakan tindakan kepada sesiapa sahaja yang didapati terlibat rasuah atau menyalahguna dana awam sebaik laporan disahkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tersebut tidak terkecuali kepada sesiapa termasuk menteri dan pegawai-pegawai pengurus yang akan dikenakan tindakan sama.
Beliau mengambil contoh laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dibentang sebelum ini.
Menurut beliau, menerusi laporan itu mendapati kerajaan rugi RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin Covid-19 tamat tarikh luput selain perolehan 104 daripada 136 ventilator rosak yang diterima Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2020.
Beliau juga mengambil contoh taklimat Ketua Audit Negara berkenaan kerugian wang awam sebanyak RM700 juta, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Laporan ini (PAC) penting, walaupun ada yang meremehkan soal tatakelola dan rasuah, tetapi, kita baca sahaja laporan itu (PAC), banyak masalah. Contohnya, 104 daripada 136 ventilator, kerajaan juga rugi RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin yang tamat tarikh luput.
“Pengalaman ini harus diambil kira dan saya tegaskan tidak boleh berulang. Kena bezakan dengan pengalaman lalu. Oleh itu, kita telah putuskan untuk ambil tindakan sebaik sahaja dapat disahkan.
“Pegawai pengurus atau menteri atau siapa sahaja yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan,” kata Anwar semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 di peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, menerusi laporan PAC juga menunjukkan pengurusan dana syarikat kerajaan yang kurang memuaskan termasuk membabitkan TEKUN Nasional. – UTUSAN









