Melaka nafi wujud campur tanga bukan Islam dalam pelantikan jawatankuasa masjid, surau

Melaka nafi wujud campur tangan bukan Islam dalam pelantikan jawatankuasa masjid, surau

TANGKAP layar surat dipercayai dikeluarkan MAIM bertarikh 25 Oktober 2023 yang dikongsikan Mohd. Yadzil Yaakub.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kaedah pelaksanaan pelantikan jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini bagi sesi 2024-2026 telah disalah tafsir sehingga berlakunya kekeliruan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau berharap agar semua pihak tidak menjadikan isu tersebut sebagai polemik.

Tegasnya, beliau bersetuju bahawa urusan umat Islam adalah hak orang Islam dan orang bukan Islam tidak boleh masuk campur.

“Begitu juga kami (orang Islam) tak ikut campur urusan lain-lain agama. Saya juga Islam dan tidak membenarkan sama sekali perkara ini boleh berlaku.

“Terdapat kekeliruan dalam memahami kaedah pelaksanaan perlantikan jawatankuasa masjid dan surau di Melaka. Saya akan buat siaran yang lebih jelas lagi supaya tiada yang jadikan polemik dan mainkan isu politik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dikatakan membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Islam mencadangkan pelantikan jawatankuasa masjid dan surau di Melaka.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkongsi satu surat dipercayai dikeluarkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bertarikh 25 Oktober 2023 yang menyatakan bahawa ADUN bukan Islam boleh mencadangkan senarai jawatankuasa dengan sokongan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) beragama Islam.

Ketetapan itu didakwa diputuskan dalam MMKN yang bersidang pada 11 Oktober lalu bagi urusan pelantikan baharu jawatankuasa masjid dan surau sesi 2024-2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya