Langkawi: Kedai makan ‘bungkus’, kereta sewa dilelong - Utusan Malaysia

Langkawi: Kedai makan ‘bungkus’, kereta sewa dilelong

Kemerotan pelancong Pulau Langkawi didakwa merosot sehingga tempatan hotel musim Deepavali rendah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Semakin ramai pengusaha makanan menutup operasi manakala pemilik kereta sewa pula melelong kenderaan masing-masing kerana tidak mahu menanggung hutang bank ekoran kemerosotan pelancong ke Langkawi.

Perkara itu didedahkan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) yang menyifatkan Langkawi bakal bergelar ‘pekan hantu’ jika tiada langkah drastik daripada pihak kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir berkata, bukti terbaharu adalah tempahan hotel tiga bintang dan ke bawah bagi cuti Deepavali hanya mencapai kadar 10 peratus setakat Jumaat lalu sekali gus terburuk berbanding sebelum ini.

“Semakin ramai pengusaha terlibat dalam sektor ini terjejas. Sebagai contoh, sepanjang Oktober, sebanyak 31 daripada 163 pengusaha kedai makan atau restoran yang berdaftar dengan LTA gulung tikar. Masing-ma­sing sudah menjual perkakasan kedai mereka. Ia akan meningkat lagi jika tiada langkah proaktif daripada pihak terlibat.

“Minggu ini, cuti Deepavali sehingga hari ini tempahan hotel hanya 10 peratus untuk hotel tiga bintang ke atas. Berbanding dengan tahun lepas, tahun ini paling teruk dan kerugian dijangka 58 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

DOMESTIK

Menurut beliau, kebergantungan orang Langkawi kepada pelancong domestik sebelum ini mengakibatkan kemerosotan industri itu apabila pulau ber­kenaan tidak lagi menjadi pusat percutian popular.

“Langkawi akan jadi ‘pekan hantu’ sekali lagi seperti pandemik Covid-19. Isu utama, tidak ada promosi khusus untuk memeriahkan semula Langkawi. Jadi Langkawi kini sudah hilang tarikan walaupun kepada pelancong domestik,” kata beliau.

Kata Zainudin, pengusaha kedai makan selama ini hanya bergantung kepada pelancong dan bukan penduduk tempatan yang jarang makan di luar rumah.

Oleh itu, jelas beliau, apabila kemasukan pelancong tidak menggalakkan memang pengusaha makanan di pulau ini bakal gulung tikar.

Selain itu, pengusaha kereta sewa juga banyak mengeluh kerana mereka terpaksa lelong kereta susulan tiada permintaand dari pelancong.

“Mereka tidak larat nak tanggung hutang bank lagi. Pengusaha makanan dan kereta sewa ini yang paling terkesan ketika ini. Mereka terpaksa serah diri kepada pihak bank,” katanya.

Kata beliau, sehubungan itu LTA berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat duduk semeja untuk mencapai titik persamaan yang baik demi pelancongan Langkawi yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Isu feri semakin selesai apabila pengusahanya bersedia untuk menambah perjalanan feri namun tanpa promosi pelancong jadi tidak berminat untuk ke Langkawi lagi. Kita harap dua-dua pihak dapat duduk berbincang,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN