Kerajaan teliti keperluan bina pagar elektrik CCTV bagi ketat kawalan sempadan - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti keperluan bina pagar elektrik CCTV bagi ketat kawalan sempadan

MOHAMAD Hasan melawat pameran yang disediakan pada Karnival Kesihatan dan Jualan Agro Madani 2023 di Taman Bandar Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan akan meneliti keperluan untuk membina pagar elektrik dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV) sepertimana langkah yang diambil kerajaan Thailand bagi memperketatkan kawalan di kawasan bersempadan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia begitu juga samada keperluan daripada segi penambahan anggota dan sistem keselamatan negara yang lain.

“Sekiranya usaha ini dilakukan, kerajaan perlu mendapatkan kerjasama dengan kerajaan Indonesia dan kerajaan Thailand agar pos kawalan bersempadan bersama itu dapat dilakukan secara bersama bagi mengawal dan memperketatkan kawalan.

“Ini kerana ada pos kawalan berada pada kedudukan yang jauh dan ini perlu kita lihat bagaimana cara meningkatkan lagi keberkesanan untuk mengawal bersempadan antara negara jiran,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Karnival Kesihatan dan Jualan Agro Madani 2023 di Taman Bandar Senawang di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Thailand bercadang untuk membina pagar elektrik dilengkapi CCTV sebagai usaha memperketatkan kawalan di kawasan bersempadan dengan Malaysia bagi mengekang sindiket penyeludupan yang dilihat turut memberi manfaat kepada negara.

Ini kerana isu melibatkan penyeludupan seperti dadah, manusia, senjata api dan sebagainya telah lama membelenggu Malaysia susulan pelbagai taktik digunakan penjenayah.

Melihat perkara itu, Mohamad berkata, usaha yang dilakukan negara jiran itu sesuatu yang baik dan pada awal tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi memperkasa kawalan sempadan ini.

“Kita mempunyai pos kawalan persendirian dan juga pos kawalan gabungan bersama, jadi ini kita uruskan dan yang penting sekali kelengkapan anggota kita bagi mengawal sempadan, baik polis mahupun tentera diberi keutamaan kerana kelengkapan itu sangat penting,” katanya,

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan juga sedang dalam proses perolehan bagi penggunaan aset seperti dron untuk mengawal sempadan dengan lebih efektif, disamping keperluan pelbagai aset lain.

“Apa yang paling penting sekali, menaik taraf pos-pos kawalan di kawasan bersempadan di sepanjang Malaysia-Thailand dan Malaysia- Indonesia di Kalimantan, ini sedang dilakukan secara berperingkat,”katanya.

Ujar beliau, dengan usaha kawalan di kawasan bersempadan yang dilakukan ini, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kerugian yang dialami negara.

“Banyak cukai tidak dapat kita kutip dan banyak barang bersubsidi kita ke luar. Untuk memastikan rentas sempadan terutamanya penyeludupan dapat ditangani, perlu ada usaha serta kawalan dilakukan kerana penyeludupan merupakan satu ancaman kepada negara,” katanya. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya