Kerajaan jamin lantikan badan berkanun kawal selia pendanaan politik adalah telus - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin lantikan badan berkanun kawal selia pendanaan politik adalah telus

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan lantikan badan berkanun Persekutuan yang berperanan mengawal selia hal ehwal pendanaan politik akan dilaksana secara telus.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, jaminan itu bagi memastikan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pendanaan politik berjalan lancar.

Sehubungan itu, beliau berharap selepas RUU itu dilaksana, sumbangan politik dalam apa juga bentuk tidak dijadikan medium penyalahgunaan kuasa, dalam kalangan ahli parti politik yang boleh menjejaskan imej negara.

“Inisiatif ini diyakini dapat meningkatkan keyakinan rakyat bahawa tadbir urus dalam kalangan ahli politik dan anggota pentadbiran dapat diamalkan berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen melaksana agenda reformasi berterusan dan memastikan integriti serta tatakelola yang baik demi kesejahteraan di Malaysia,” katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.

Pada Mei lalu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik menggesa supaya RUU itu dibentang di Parlimen selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Semasa sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat pada 18 September lalu, Kabinet bersetuju supaya skop RUU berkaitan pendanaan politik dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi di Dewan Rakyat pada 8 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Dr. Azalina Othman Said berkata, terdapat tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan RUU pendanaan politik.

Antara pertimbangan tersebut ialah peranan pengawalseliaan dilaksana oleh sebuah badan berkanun Persekutuan sebagai entiti bebas dan berkecuali dan membolehkan pengawalan sumbangan politik dibuat sepanjang masa dan bukan terhadap ketika pilihan raya sahaja.

Azalina dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Mac lalu berkata, kerajaan akan mengambil kira amalan dan perundangan yang sedia ada untuk mengatasi isu pendanaan politik.

Katanya, ia termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 (Akta 335) serta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram 2001 (Akta 613).

Pada September tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU dana politik dijangka dibentang untuk bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat pada November tahun sama.

Bagaimanapun, ia tidak sempat dibahaskan susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN