KOTA BHARU: Kelantan FC terus menjadi pasukan ‘lauk’ dalam saingan Liga Super musim ini apabila dibelasah tanpa belas oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-6 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kekalahan besar itu menyaksikan Kelantan FC menambah jumlah jaringan bolos ke-108 selepas mengharungi 24 perlawanan musim ini.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain bermula dengan langkah kanan apabila meledak jaringan pertama seawal minit keenam menerusi sepakan penalti oleh Ifedayo Olusegun.
KDA FC sekali lagi mengejutkan The Red Warriors (TRW) apabila di hadiah sepakan penalti kedua selepas bola terkena tangan pemain tuan rumah dan Ifedayo tenang mencetak jaringan kedua pelawat pada minit ke-26.
Berselang dua minit kemudian giliran Wan Amirul Afiq Wan Ab. Rahman menambah derita Kelantan apabila rembatan deras gagal diselamatkan oleh penjaga gawang TRW Ifran Haikal.

Belum sempat kem tuan rumah bertenang, Ifedayo pantas menyambar peluang terhidang hasil kealpaan barisan pertahanan TRW untuk melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-30.
Kelantan terus berusaha merapatkan jurang jaringan namun dikecewakan oleh ketumpulan jentera penyudah menyaksikan kedudukan kekal 0-4 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, TRW akhirnya berjaya mencetak gol sagu hati melalui rembatan pemain gantian, Hazeman Che Ngah pada minit ke-73 selepas menerima hantaran daripada Mohamad Khalaif Mohd. Maskam.
Ifedayo terus menjadi duri dalam daging buat Kelantan FC apabila meledak gol kelima KDA sekali gus gol peribadi keempatnya pada perlawanan itu.
Situasi bertambah parah buat anak didik Alfredo Vera apabila bola rembatan silang Muhammad Ariff Farhan Md. Isa menerjah tepat ke gawang tua rumah pada minit ke-87 untuk gol kemenangan Sang Kenari.
Kemenangan itu menyaksikan KDA FC terus mengambat kedudukan Selangor FC yang kini hanya dibezakan dengan dua mata selepas Hijau Kuning berjaya mengumpul 53 mata.
Sementara Kelantan FC terus mengukuhkan kedudukan di dasar liga.-UTUSAN