PETALING JAYA: Yayasan MyAQSA (MyAQSA) sudah bersedia dengan bukti-bukti terkini kekejaman rejim zionis terhadap rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza untuk dikemukakan kepada pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurusnya, Mohd. Norazman Mohd. Arif berkata, selain ICC, pihaknya juga akan membuat aduan rasmi kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan (UNCAT), New York.
Malah, menurut beliau, segala bentuk kekejaman itu akan juga diserahkan kepada Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kita akan mengemukakan bukti terkini kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza untuk mengheret rejim Zionis ke ICC dalam masa terdekat.
“Kita juga akan kemukakan beberapa bukti yang sedia ada dan juga temu bual bersama rakyat Palestin dengan kerjasama Kedutaan Palestin di Malaysia. Kita sedang menyusun janji temu dengan pihak ICC,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd. Norazman berkata, pihaknya tidak boleh menunggu sehingga perang antara Hamas dengan Israel tamat untuk mengemukakan bukti tersebut sebaliknya ia akan dilakukan pada bila-bila masa.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Pengerusi MyAQSA, Lukman Sheriff Alias berkata, pasukan undang-undang MyAQSA akan bertemu secara peribadi dengan pendakwa raya ICC di The Hague berhubung penyediaan bukti-bukti itu, dengan harapan satu tindakan segera dapat diambil.
Usaha MyAQSA itu mendapat sokongan pelbagai pihak setelah melihat keangguhan Israel yang tidak mahu menghentikan serangan terhadap penduduk Palestin walaupun didesak oleh pelbagai pihak.
SOKONGAN
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, sokongan ditunjukkan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) membuatkan Israel besar kepala.
“Apabila tindakan dPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat seperti tidak menyelesaikan konflik antara dua-dua pihak itu, maka isu perlu dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),’’ katanya.
Menurutnya, mana-mana negara yang menyokong sama ada Israel mahupun Palestin adalah tidak layak untuk menganggotai jawatankuasa dan ahli ICJ dalam menjadi pengantara untuk membicarakan konflik tersebut.
Katanya, jawatankuasa ICJ hanyalah layak bagi negara yang bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak dalam mengadili dan menyelesaikan masalah perebutan tanah antara kedua-dua negara berkenaan.
“Buat masa ini fakta dan keterangan perlu dibuktikan oleh negara yang terlibat perang tersebut tidak kira sama ada dari Israel mahupun Palestin, bagi tindakan lanjut daripada ICJ
“Ini merupakan langkah terbesar di peringkat antarabangsa dan bukan setakat itu, sokongan dari beberapa negara lain juga amat diperlukan bagi membenarkan ICJ melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi.
PRODUK
Sehubungan itu, kata beliau, solusi yang boleh dikemukakan oleh semua pihak pada masa kini ialah dengan memboikot produk atau jenama syarikat yang memberi sokongan dan sumbangan kepada negara Israel.
Katanya, kaedah tersebut sekali gus sedikit sebanyak dapat menyumbangkan kepada impak buruk keseimbangan ekonomi dan pendapatan jenama barangan tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, masih menjadi tanda tanya siapakah pihak yang layak untuk mengheret Israel ke ICJ dan ICC.
Menurut beliau, jika lihat dari segi keangkuhan Israel dengan AS dan negara besar lain memberi sokongan kepada mereka, maka akan menjadi halangan kepada penyiasatan ICJ dan ICC dalam menyelesaikan isu tersebut.
Jelas beliau, negara yang mempunyai kuasa veto akan diyakini mampu untuk mempengaruhi negara-negara lain agar tidak campur tangan dalam isu berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yakin Malaysia mampu membawa suara dalam mempertahankan bumi Palestin ke peringkat antarabangsa.
“Akan tetapi Putrajaya mesti melobi untuk mendapatkan sokongan negara-negara Timur Tengah yang besar, berkeupayaan dan memiliki tentera yang kuat seperti Arab Saudi, Iran, Oman, Turki dan Pakistan malah dengan Indonesia juga.
“Jika Malaysia bersuara secara bersendirian, mungkin suara kita tidak akan kedengaran dan hanya dipandang rendah,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengatakan bahawa Malaysia akan terus menggunakan pengaruhnya di peringkat antarabangsa dalam mencari jalan penyelesaian kemelut yang menimpa Gaza.
NEGARA
Menurut beliau, walaupun Malaysia mungkin dianggap sebagai sebuah negara yang kecil, suara negara ini sering diminta dan diberi keutamaan pada peringkat antarabangsa
Sehubungan itu, beliau yakin pengaruh negara ini mampu untuk mendorong negara-negara lain memberikan sokongan mereka terhadap isu Palestin.
Pada hujung bulan lalu, AS malu besar apabila hanya 12 negara menyertai Washington dan Israel dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menentang usul gencatan senjata diusulkan Jordan.
Usul mendapat 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali. Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sokongan langsung negara kuasa besar, termasuk Perancis, United Kingdom (UK) dan Sepanyol yang enggan menyertai Washington. – UTUSAN










