‘Kami bukan budak sekolah’

‘Kami bukan budak sekolah’

AHLI Parlimen menolak cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaparkan nama ahli Parlimen yang ponteng dalam laman web Dewan Rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen sama ada blok kerajaan dan pembangkang menyifatkan tindakan mendedahkan nama-nama individu yang sengaja ponteng ke Dewan Rakyat sebagai sama seperti layanan kepada budak sekolah.

Kata mereka, tindakan tersebut tidak wajar dilakukan kerana peranan wakil rakyat bukan sahaja hadir ke sidang mesyua­rat tetapi juga merangkumi tugas besar terhadap pengundi dan kawasan dalam Parlimen yang diwakili.

Walaupun langkah itu bertujuan meningkatkan kehadiran dalam sesi Dewan Rakyat, namun rata-rata ahli Parlimen menegaskan pengundi tidak hanya menilai daripada segi peranan menggubal undang-undang, sebaliknya tugas mereka menjaga soal kebajikan rakyat di kawasan.

IMEJ BURUK

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim berkata, istilah ‘ponteng’ sahaja memberi imej buruk kepada wakil-wakil rakyat kerana mereka bukan sengaja enggan hadir ke Parlimen sebaliknya mempunyai banyak tugas lain apatah lagi membabitkan di dalam kala­ngan anggota Kabinet.

Katanya, malah, ahli-ahli Parlimen tidak berjawatan juga menggalas peranan lain terma­suk perlu menghadiri mesyua­rat Jawatankuasa Pilihan Khas yang berlangsung serentak ketika sesi Parlimen bersidang.

“Keutamaan ahli Parlimen bukan sahaja penggubal undang-undang, tetapi juga kami juga menanggung amanah lain yang memerlukan kehadiran wakil rakyat.

“Jadi, kita bukan sengaja tidak mahu hadir, kami ada alasan kukuh untuk berbuat demikian,” katanya.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan senarai nama ahli-ahli Parlimen yang ‘ponteng’ dengan sengaja sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, perkara itu merupakan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.

SEKOLAH

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Parlimen bukannya sesi persekolahan.

Beliau justeru berkata, tindakan itu amat tidak wajar walaupun bertujuan bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat.

Katanya, ada masanya wakil rakyat perlu berada di kawasan masing-masing khususnya ketika waktu kecemasan seperti banjir dan bencana alam.

“Parlimen bukan sekolah. Ada masa wakil rakyat perlu berada di kawasan kalau ada kecemasan, mesyuarat pejabat daerah, negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tugas ahli Parlimen hanya bukan sekadar duduk di dalam Dewan Rakyat sebaliknya membangkitkan isu-isu rakyat dan mengetengahkan idea untuk perhatian kerajaan.

Beliau memahami usaha itu dilihat wajar bagi mengelakkan masalah tidak cukup kuorum ketika sidang berlangsung khususnya dalam kalangan wakil rakyat yang sengaja ponteng tanpa alasan kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN