DUN MELAKA: Berlaku ‘ali baba’ di Taman Kekal Pengeluaran Makanan

DUN MELAKA: Berlaku ‘ali baba’ di Taman Kekal Pengeluaran Makanan

TERDAPAT tiga TKPM di Melaka iaitu di Selandar, Pulau Gadong dan yang terbaharu di Machap. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengusaha yang menjalankan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) secara ‘ali baba’ bakal berdepan tindakan tegas jika didapati melanggar polisi yang telah digariskan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada para petani yang terpaksa membayar sewa sehingga RM12,000 untuk semusim penanaman.

Katanya, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding sewa dikenakan kerajaan negeri iaitu kira-kira RM1,500 setahun.

“Setakat ini terdapat tiga TKPM iaitu di Selandar, Pulau Gadong dan yang terbaharu di Machap bagi memastikan keterjaminan makanan di negeri ini. Polisi ini kita buat untuk kebaikan rakyat tetapi pelaksanaannya di peringkat bawahan sangat lemah.

“Saya terima banyak aduan berlaku ali baba terhadap projek TKPM yang membebankan petani. Saya telah berbincang perkara ini dengan Ketua Menteri dan beliau telah mengarahkan tindakan segera diambil serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-pertanyaan Lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

MUHAMAD AKMAL Saleh dalam sidang akhbar sempena Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

Beliau menjawab soalan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) mengenai kesiap-siagaan kerajaan negeri dalam menangani krisis bekalan makanan.

Tambah Muhamad Akmal, antara tindakan akan diambil adalah tidak menyambung permohonan baharu dan membatalkan kelayakan mengusakan tanah TKPM.

Menurutnya, permohonan untuk mengusahakan TKPM tahun depan turut diperketatkan dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Pengarah Pertanian negeri.

“Kita akan lihat mana-mana TKPM yang tidak dibangunkan atau diusahakan sebagai ali baba, kita akan tarik kelayakan mereka dan beri terus kepada petani. Dengan sewa yang murah mereka boleh hasilkan pendapatan yang lebih baik dan memastikan keterjaminan makanan di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya