Cukai MBPG: Penduduk berhak marah, kerajaan negeri perlu campur tangan - Halim - Utusan Malaysia

Cukai MBPG: Penduduk berhak marah, kerajaan negeri perlu campur tangan – Halim

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penduduk Pasir Gudang berhak bersuara dan marah dengan tindakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mahu menaikkan kadar cukai harta sehingga 40 peratus bermula tahun depan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, ini kerana kadar kenaikan itu tidak munasabah dan merupakan beban besar kepada rakyat.

Tegasnya, langkah itu tidak sesuai dilaksanakan dalam suasana ekonomi beransur pulih pasca pandemik Covid-19.

“Sepatutnya MBPG lebih peka dengan keperluan, tekanan dan kebajikan rakyat sebelum buat cadangan kenaikan sampai kadar 40 peratus itu. Biarlah tindakan dibuat tidak mengheret rakyat ke arah bebanan kewangan. 

“Jika dibandingkan dengan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), kenaikan kadar cukai jauh lebih rendah. Banyak pihak membantah cadangan itu sama ada melalui saluran rasmi mahupun bukan, tetapi MBPG buat buta dan pekak seperti tidak hirau denyut nadi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rabu lalu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad memberitahu, PBT itu sedia menimbang pelaksanaan cukai baharu tersebut dan satu mesyuarat khas akan diadakan pertengahan bulan ini bagi memutuskan kadar yang akan dipersetujui, manakala penduduk dibenarkan membuat bantahan bertulis atau secara dalam talian.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau turut memberitahu, difahamkan majoriti Ahli Majlis MBPG turut tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang dianggap mendadak dan terlalu tinggi.

“Saya dimaklumkan dalam mesyuarat, Ahli Majlis MBPG bersetuju jika kadar kenaikan cukai harta itu dibuat secara berperingkat, iaitu dengan kadar 20 peratus setiap tahun untuk tempoh lima tahun. 

“Sekiranya bantahan daripada Ahli Majlis sendiri pun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak pedulikan, jadi MBPG mendengar suara siapa dalam menjalankan urusan pentadbiran mereka? Saya berharap kepimpinan kerajaan negeri dapat memainkan peranan sebagai orang tengah antara penduduk setempat dan MBPG dalam isu cadangan kenaikan cukai harta ini. 

“Saya tidak mahu isu ini mencalarkan imej kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dikenali sebagai cekap, berkebajikan dan berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya