Benih padi di Perak mencukupi

Benih padi di Perak mencukupi

SHAM MAT SAHAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Golongan pesawah di negeri ini tidak perlu bimbang tentang stok benih padi kerana bekalannya sentiasa mencukupi.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, untuk itu, golongan berkenaan diminta tidak mempercayai khabar angin tentang kekurangan stok benih dan berlaku suasana panik.

“Sehinggakan ada yang membeli benih padi tidak sah. Tindakan itu merugikan pesawah dan yang mendapat untung ialah pihak yang menjual benih padi yang tidak sah,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini kelmarin.

Menurut Sham, sekiranya berlaku kekurangan benih padi, pesawah boleh membuat aduan atau merujuk perkara itu kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan masing-masing.

Beliau berkata, contohnya di Bagan Serai, ada pesawah yang mengadu agak sukar mendapat benih padi dan beliau terus berhubung dengan pihak kawal selia bagi mendapat maklumat tentang dakwaan itu.

“Saya diberitahu stok bekalan benih padi mencukupi dan saya minta stok bekalan benih padi sebanyak 3,000 beg segera dihantar ke Bagan Serai,” katanya.

Sham berkata, apabila pesawah tidak dapat maklumat yang tepat maka berlaku panik sehingga ada yang membeli bekalan benih beg putih yang tidak sah pada harga yang tinggi sehingga mencecah RM70 untuk satu beg 20 kilogram.

“Kerajaan telah mewartakan harga benih padi di pintu kilang pada harga RM41 dan PPK akan menjual kepada pesawah dengan harga RM45 dalam kuantiti yang sama,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan kerja-kerja menanam musim kedua padi di Perlis dan Kedah terganggu apabila kira-kira 90 peratus pesawah dalam Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) gagal mendapatkan bekalan benih padi sah (BPS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN