SHAH ALAM: Tiga kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM3,550 antara Januari hingga Julai enam tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Mohd. Hazri Nordin, 42; Muhammad Fauzan Hasbullah, 36, dan Mohd. Aizuddin Mohd. Yusof, 43, mengaku tidak bersalah selepas mendengar empat pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hazri didakwa menerima RM500 dan RM700 daripada seorang lelaki melalui akaun bank miliknya sebagai dorongan untuk memudahkan urusan lesen perniagaan sebuah restoran pada 20 Januari dan 20 Februari 2020 dekat sebuah cawangan bank sama di Rawang.
Muhammad Fauzan pula didakwa menerima RM1,000 juga daripada lelaki sama melalui akaun bank miliknya pada 26 Januari 2020 dekat sebuah cawangan bank di bandar raya ini bagi tujuan mengesyorkan arkitek dalam proses permohonan permit tahunan sementara milik seorang individu.
Sementara Mohd. Aizuddin pula dituduh menerima suapan berjumlah RM1,350 melalui akaun miliknya pada 13 Julai 2020 dekat sebuah bank di Selayang daripada pemilik sebuah perniagaan yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya sebagai penjawat awam di MPS.
Justeru, Mohd. Hazri dan Muhammad Fauzan dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mohd. Aizuddin pula dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Alimi Mustapha dan Arif Asyraf Mohd. Khairi kemudian mencadangkan tawaran sebanyak RM9,000, RM10,000 dan RM5,000 kepada ketiga-tiga tertuduh itu dengan seorang penjamin bagi setiap seorang sekiranya mahkamah membenarkan jaminan.
Namun peguam, Evie Melynda, Zulazrai Zolkapli dan Nurul Aeir S. Muhammad Harvian Kamar memohon kadar jaminan yang bersesuaian kerana kesemua anak guam mereka kini sedang digantung tugas.
Bagaimanapun, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud mengekalkan jumlah jaminan terhadap Mohd. Hazri dan Muhammad Fauzan, sementara Mohd. Aizuddin pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM4,500.
Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 24 September bagi Mohd. Hazri serta Muhammad Fauzan dan 25 September bagi Mohd. Aizuddin. – UTUSAN










