GEORGE TOWN : Polis kini sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai William bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket phone scam antarabangsa yang dipercayai beroperasi di sebuah banglo empat tingkat di Bukit Mertajam, susulan satu serbuan, Khamis lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, lelaki berusia 49 tahun yang alamat terakhirnya di Kluang, Johor itu dikesan sebagai saksi selepas namanya timbul dalam siasatan yang dijalankan polis sebelum ini.
“William bukan individu yang dikehendaki, tetapi, hanyalah saksi. Jadi, kita minta dia tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 26 tahun yang dipercayai dikurung oleh sindiket terbabit sebelum menahan 29 individu lain termasuk warga asing dari Filipina, Thailand, Afrika Selatan, Pakistan, Kemboja dan Nigeria.
Sementara itu, Dennis menasihatkan pemilik rumah supaya membuat semakan latar belakang terhadap bakal penyewa sebelum menyerahkan premis mereka bagi mengelakkan kediaman disalahgunakan untuk aktiviti jenayah.
Katanya, pemilik juga disaran menyemak identiti penyewa melalui ejen atau dokumen berkaitan dan tidak sewenang-wenangnya menerima penyewa tanpa penelitian.-UTUSAN










