Berbelit lidah Adipati Dolken berbahasa Melayu - Utusan Malaysia

Berbelit lidah Adipati Dolken berbahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktor Indonesia, Adipati Dolken tampil berani mencabar dirinya untuk bertutur dalam bahasa Melayu demi menjayakan watak Adi menerusi filem Mojoku Hilang!.

Menurut Adipati atau Adipati Koesmadji, 35, proses itu merupakan perkara yang paling mencabar sepanjang kariernya, namun dirinya tidak mengambil masa yang lama untuk menguasainya.

“Saya tidak mengambil masa terlalu lama untuk belajar bahasa Melayu. Saya tiba di Kuala Lumpur pada penghujung November tahun lalu.

“Sebaik sampai, kami terus membaca skrip dan saya mula mempelajari dialek bahasa Melayu. Cabaran paling besar ialah mendapatkan sebutan serta lenggok bahasa yang tepat. Memang berbelit lidah.

“Sehinggalah pihak produksi memberi penilaian terhadap tahap kefasihan saya. Mereka bergurau mengatakan cara saya bertutur sudah seperti orang yang menetap di Malaysia selama lima tahun,” katanya ketika ditemui di sidang media Mojoku Hilang! pada Isnin.

Dalam pada itu, Adi turut menyifatkan penglibatannya menerusi naskhah arahan Min Lim itu juga membuka peluang untuk dirinya melebarkan sayapnya luar Indonesia.

“Saya tertarik apabila pengarah l menawarkan watak ini kerana skripnya sangat bagus. Pada masa sama, saya juga berpeluang berlakon di luar negara. Watak ini memerlukan saya bertutur dalam bahasa Melayu dan dialek Utara kerana penggambarannya berlangsung di Perlis.

“Saya belum pernah melakukannya sebelum ini, jadi saya anggap itu satu cabaran menarik. Sampai bila saya mahu berada dalam zon selesa? Sebagai pelakon, saya perlu terus belajar walaupun bahasa Melayu memang sangat sukar untuk saya kuasai,” jelasnya.

Bagaimanapun aktor itu turut menjalani sesi uji bakat secara dalam talian dan menghantar hampir 20 video sebelum akhirnya menyerahkan segala-galanya kepada pihak produksi.

“Saya merakam hampir 20 video untuk sesi uji bakat. Sampai satu tahap saya rasa sudah terlalu penat dan hanya mampu berserah. Saya fikir, sama ada dapat watak ini atau tidak, saya reda. Syukur kerana akhirnya pihak penerbit tetap yakin saya mampu menjayakannya,” kongsinya.

Sementara itu, Adipati turut menzahirkan penghargaan kepada penulis skrip, Honey, yang banyak membantunya memperbaiki sebutan dialog sepanjang penggambaran.

“Dia sentiasa berada di sisi pengarah sambil memantau setiap babak. Kalau sebutan saya kurang tepat, dia akan terus menegur. Dia sangat membantu saya memahami skrip kerana cara membaca dan menyampaikan dialog dalam bahasa Melayu sangat berbeza,” katanya.

Selain Adipati, naskhah terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan ARGO Films itu turut dibintangi Mimi Lana, Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah, Haeriyanto Hassan, Farah Ahmad dan Seha Monica.

Filem romantik komedi itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN