KOTA BHARU: Jurulatih kelahiran Brazil Ailton Silva sah meninggalkan dengan Kelantan United berkuat-kuasa hari ini meskipun saingan Liga Super masih berbaki tiga perlawanan lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd. Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesahkan Ailton telah menamatkan kontrak dengan kelab tersebut secara persetujuan bersama.
Menurutnya, keputusan Ailton meninggalkan kelab berpangkalan di Kota Bharu itu adalah atas sebab peribadi dan urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan.
“Beliau (Ailton) akan pulang ke Brazil selepas mendapatkan perkhabaran bahawa ibunya ketika ini sakit tenat dan memerlukan pemantauan rapi. Situasi ini memaksa Ailton melepaskan jawatan yang disandangnya pada ketika ini.
“Saya mewakili seluruh warga Kelantan United berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan beliau dan mendoakan semoga segara urusan beliau bersama keluarga dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Mohd. Zulikman turut menyatakan penghargaan kepada jurulatih berpengalaman itu atas kerja keras yang dilakukan sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai pengendali pasukan.
“Pihak kelab juga merakamkan ucapan terima kasih atas segala komitmen dan kerja keras beliau sepanjang mengemudikan pasukan dalam 14 perlawanan sejak dibawa masuk pada Julai lalu.
“Dengan pengunduran Ailton, tugas ketua jurulatih kini disandang oleh Nazrulerwan Makmor selaku ketua jurulatih interim dan dibantu oleh penolong jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan,” katanya.
Ujarnya, kedua-dua jurulatih tersebut akan menggalas tanggungjawab mengendalikan pasukan untuk tiga perlawanan terakhir Kelantan United dalam saingan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kelantan FC.
Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih, Ailton berjaya merubah wajah Kelantan United dengan pencapaian terbaik mereka adalah kejayaan mara ke peusingan kedua Piala Malaysia dan separuh akhir Piala Cabaran.-UTUSAN