2026 tahun penentu reformasi pendidikan negara

2026 tahun penentu reformasi pendidikan negara

FADHLINA Sidek bersama warga Kementerian Pendidikan melafazkan ikrar pada majlis penyampaian Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya, Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2026 ditetapkan sebagai fasa paling kritikal dalam landskap pendidikan negara apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan pelaksanaan reformasi menyeluruh yang akan menentukan hala tuju sistem pendidikan Malaysia untuk sedekad akan datang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, negara kini berada di persimpangan penting dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026–2035 dibentangkan 20 Januari ini, di samping pengenalan kurikulum persekolahan baharu yang bermula dengan Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai asas kepada Kurikulum Persekolahan 2027.

Menurut beliau, reformasi yang digerakkan bukan sekadar penstrukturan dasar, sebaliknya berteraskan pendidikan manusiawi yang mesti dirasai secara langsung oleh murid, guru dan komuniti sekolah.

“Tumpuan utama KPM pada 2026 ialah memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada tindakan nyata, dengan keutamaan kepada hak asasi murid, kebajikan guru serta penglibatan komuniti,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 di Putrajaya, Jumaat lalu.

Prasekolah jadi titik mula perubahan

Fadhlina menjelaskan, reformasi pendidikan bermula di peringkat awal menerusi Kurikulum Prasekolah 2026, termasuk Pendidikan Khas, yang menekankan pengurusan diri, minat membaca, pembelajaran bersepadu, pendedahan teknologi dan pembentukan karakter insani.

Bagi menyokong generasi Alpha dan Beta, kemudahan prasekolah ditambah baik termasuk penggunaan TV pintar, selain peluasan Sesi Baca Bersama ke rumah serta pelaksanaan Program PAKAT di semua negeri bagi mengukuhkan kerjasama ibu bapa dan komuniti.

KPM turut mengekalkan makanan percuma di semua prasekolah, bantuan per kapita RM100 setahun dan bantuan kokurikulum RM25 setahun bagi setiap murid. Keperluan penambahan guru serta pembantu guru prasekolah terlatih juga diberi perhatian.

Bagi memperluas akses, 350 kelas prasekolah baharu akan dibuka termasuk di Kolej Matrikulasi, diikuti 150 lagi pada 2027. Kerajaan turut memperuntukkan RM125 juta bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan prasekolah sedia ada di seluruh negara.

Tadbir urus sekolah diperkasa

Dalam usaha memperkukuh profesionalisme kepimpinan sekolah, KPM akan melaksanakan penyelarasan struktur SIP dan SISC+, dengan penekanan kepada bimbingan berasaskan kepakaran mata pelajaran.

Selain itu, penggredan baharu sekolah akan dikuatkuasakan mulai bulan ini, melibatkan naik taraf pentadbir kepada siswazah serta penilaian beban tugas berdasarkan enrolmen murid dan pengurusan asrama.

Langkah ini, menurut Fadhlina, memastikan pentadbir mempunyai kelayakan dan autoriti untuk melaksanakan tanggungjawab secara berkesan.

Inisiatif segera PPPM 2026–2035

Sebagai pelengkap kepada perancangan jangka panjang, PPPM 2026–2035 disokong oleh 14 Inisiatif Segera (Quick Win) yang memberi impak langsung kepada sekolah dan murid.

Antaranya, pembukaan 17 sekolah baharu, naik taraf 50 sekolah daif, pembekalan peralatan makmal komputer di 1,801 sekolah serta pemasangan sistem CCTV di 333 sekolah asrama harian.

Dalam pendidikan khas, 200 kelas Pendidikan Khas baharu akan dibuka secara berperingkat, selain peluasan Sekolah Model Khas Komprehensif dan pembukaan Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas di Negeri Sembilan.

“Bagi menyokong kebajikan guru, KPM akan menempatkan 1,470 pembantu guru (MyPG) dan melantik 600 pembantu warden asrama (MyPWA) mulai 2026, selain latihan penguasaan Bahasa Inggeris untuk semua guru prasekolah,” katanya.

Teknologi, globalisasi dan kepimpinan murid

Dalam mendepani cabaran masa depan, 800 sekolah akan melaksanakan Bilik Darjah Dikuasakan AI (260 buah pada 2026, 540 buah pada 2027), manakala DELIMa 3.0 akan digunakan sepenuhnya mulai bulan ini bagi memperkasa pembelajaran digital yang lebih personal dan berkesan.

Peluang global turut diperluas apabila 500 murid B40 dihantar mengikuti Kem Kepimpinan Bahasa Inggeris di luar negara, selain pelaksanaan program pendidikan manusiawi untuk komuniti pedalaman seperti anak-anak Penan di Sarawak.

Sebagai langkah strategik, KPM turut mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sebagai wadah pemikir strategik dalam menavigasi cabaran pendidikan masa hadapan.

Mengukuhkan Reformasi Ekosistem Pendidikan

Dalam mendepani perubahan dunia yang semakin pantas dipacu teknologi dan persaingan global, Fadhlina menegaskan bahawa reformasi pendidikan tidak boleh digerakkan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan ekosistem yang kukuh, berasaskan kepercayaan, kerjasama dan keberanian untuk berubah.

“Justeru, peranan agensi, institusi serta rakan strategik di bawah payung KPM menjadi nadi penting bagi menterjemahkan dasar kepada realiti di bilik darjah,” katanya.

Di peringkat prauniversiti, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan memacu transformasi digital Tingkatan Enam menerusi pembekalan papan pintar ke semua Kolej Tingkatan Enam secara berfasa pada 2026 dan 2027, selain peruntukan khas bagi pembangunan kepimpinan murid.

Sementara itu, Yayasan Didik Negara (YDN) akan menerajui pelaksanaan TVET berteraskan AI secara rintis di lima Sekolah Berasrama Penuh, sebelum diperluaskan ke sembilan Sekolah Teknik terpilih.

Dalam menjaga kebajikan pendidik, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi Geran Peralatan Sekolah dan Geran Alat Bantu Mengajar, selain RM500,000 untuk membantu pendidikan anak-anak asnaf.

Usaha memartabatkan bahasa pula diperkasakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) antaranya melalui pentauliahan Munsyi Dewan dalam kalangan guru.

Dalam aspek akses ilmu, Perbadanan Kota Buku (PKB) meneruskan agenda keadilan pendidikan antaranya menerusi sumbangan satu juta buku tulis kepada murid B40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN