KUALA LUMPUR: Saman fitnah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap beberapa pihak diselesaikan secara baik apabila kesemua defendan membuat permohonan secara terbuka di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kesemua mereka iailah Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail serta bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. yang menyiarkan kenyataan itu melalui portal Harakahdaily dan akhbar Harakah.
Hakim Hilmiah Yusof merekodkan penyelesaian secara baik kes saman itu dengan terma-terma penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak termasuk kos RM15,000 yang perlu dibayar kepada Fadhlina.
Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes saman fitnah itu.
Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat ketika membacakan permohonan maaf bagi kesemua defendan berkata, pihaknya mengaku kenyataan yang dikeluarkan telah mengundang tafsiran yang pelbagai dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap Fadhlina sehingga menjejaskan nama baiknya.
Beliau juga mengaku pihak sekolah sebenarnya dibenarkan untuk membuat laungan takbir dan membaca qunut nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.
“Maka, kami memohon maaf kepada Yang Berhormat, Fadhlina Sidek di atas kenyataan-kenyataan tersebut dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada beliau,” katanya ketika membaca permohonan maaf yang merupakan sebahagian daripada terma penyelesaian.
Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka turut bersetuju untuk menarik balik sepenuhnya, secara mutlak dan tanpa sebarang syarat kenyataan-kenyataan tersebut.
“Kami selanjutnya memberi aku janji kepada mahkamah ini bahawa kami tidak akan pada bila-bila masa selepas ini mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan-kenyataan tersebut atau apa-apa kenyataan yang sama maksudnya, sama ada secara lisan, bertulis, melalui media sosial, media cetak, media elektronik atau dalam apa jua bentuk sekalipun.
“Kami juga akan mengambil segala langkah yang munasabah dan perlu bagi memastikan semua kenyataan-kenyataan tersebut diturunkan, dipadam dan tidak lagi disebarkan oleh mana-mana pihak di bawah kawalan kami,” katanya.
Pada prosiding hari ini, peguam, Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nor Aziah Haron mewakili plaintif, Fadhlina manakala peguam, Yusfarizal Yusoff dan Mohd. Faizi Che Abu mewakili defendan pertama (Zulkifli) serta peguam, Muhammad Darwisy Roslan dan Afifah Abdul Latiff mewakili defendan kedua (Mazlan) dan ketiga (Galeri Media Serbanika).
Pada 2023, akhbar ini melaporkan Fadhlina telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Zulkifli serta portal Harakahdaily berhubung dakwaan kononnya takbir dan bacaan doa qunut nazilah tidak dibenarkan ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.
Fadhlina berkata, tindakan saman fitnah terhadap kedua-dua pihak itu bertujuan membersihkan namanya daripada tuduhan yang disifatkan tidak berasas dan tidak wajar.
Kenyataan tersebut telah dibuat oleh Zulkifli semasa program ‘Solidarity for Palestine’ pada 5 November 2023, dan kemudiannya telah diterbitkan semula oleh bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh serta Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. melalui portal Harakahdaily dan akhbar Harakah bertarikh 6 November 2023. – UTUSAN










