Vandalisme cemarkan imej Pulau Pinang

Vandalisme cemarkan imej Pulau Pinang

LIF jejantas menghubungkan pejalan kaki dari Jalan Fettes ke Jalan Seri Tanjung Pinang berhampiran simpang empat Tanjong Tokong tidak dapat digunakan akibat perbuatan vandalisme. – GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbuatan vandalisme atau merosakkan harta benda awam di kawasan jejantas berhampiran simpang empat Tanjong Tokong di sini baru-baru, boleh merosakkan imej Pulau Pinang.

Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Lee Seng Hwai berkata, perbuatan tersebut bukan sahaja menyebabkan kerosakan serius terhadap fasiliti awam, malah menjejaskan keselamatan orang ramai terutamanya warga emas, wanita hamil dan orang kurang upaya (OKU).

“Jejantas yang menghubungkan pejalan kaki dari Jalan Fettes ke Jalan Seri Tanjung Pinang itu rosak termasuk pada sistem lif selepas pemeriksaan dijalankan susulan aduan pengguna.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat cecair pada sistem pendawaian dan sensor sehingga menyebabkannya terbakar,” katanya semalam.

Jelas Seng Hwai, selain kerosakan lif, beberapa keping cermin di jejantas berkenaan turut dipecahkan, meningkatkan risiko keselamatan bukan sahaja kepada pengguna jejantas, malah kepada kenderaan dan motosikal yang lalu di bawahnya.

“Secara keseluruhan, antara kerosakan yang dikenal pasti termasuk dua panel keluli butang lif yang dikopek, dua sistem pendawaian lif rosak, sensor elektronik pada dua lif terbakar serta empat keping cermin di tingkat atas dan bawah yang pecah.

“Berikutan kejadian itu, pengoperasian kesemua lif di jejantas berkenaan terpaksa dihentikan sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan. Bagaimanapun, jangka masa serta kos pembaikan masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Syed Akmal Syed Hisyam, 46, berkata, dia sering menggunakan jejantas berkenaan sebelum ini, namun mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian sejak akhir-akhir ini kerana enggan mengambil risiko.

“Saya tidak mahu menjadi tajuk berita disebabkan perkara ini. Jadi, saya amat berharap agar pihak yang berkenaan termasuk MBPP dan pemaju membaik pulih segala kemudahan ini dengan segera.

“Kalau boleh, pasanglah CCTV (kamera litar tertutup) di beberapa lokasi tertentu bagi memastikan perbuatan vandalisme tidak lagi berlaku di sini,” katanya.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat oleh pihak pemaju berhubung insiden tersebut untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×