KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman percaya beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit dan menghukumnya atas pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu percaya mahkamah adalah penentu dan medan terbaik untuk membersihkan namanya.
“Keputusan (hari ini) bukan mudah untuk ditelan, namun saya menerima seadanya serta menghormati keputusan mahkamah.
“Hasil perbincangan dengan pihak peguam, kami ada kes yang baik untuk difailkan kepada Mahkamah Rayuan dan menjadi penentuan terbaik kepada diri saya,’’ katanya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini.
Terdahulu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta serta mengenakannya dua sebatan atas empat pertuduhan.
Syed Saddiq berkata, selaku salah seorang penggubal dasar negara (ahli Parlimen), beliau tetap meletakkan kepercayaan terhadap institusi kehakiman negara.
Beliau berkata, bagi menjadi seorang pemimpin yang mahu memajukan negara, beliau perlu menjadi ‘lebih putih daripada putih’ dan menunjukkannya kepada masyarakat.
Ditanya sama ada beliau bersedia menerima kritikan dan kecaman, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dihadapi dengan hati terbuka seperti mana menerima keputusan yang dikenakan ke atasnya. – UTUSAN










