12,596 graduan bergaji 'premium' RM4,000 ke atas - Utusan Malaysia

12,596 graduan bergaji ‘premium’ RM4,000 ke atas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 25 peratus atau 12,596 graduan  terma­suk dari lima universiti awam (UA) yang menamatkan pengajian tahun lalu menerima gaji pemium RM4,000 ke atas sebaik sahaja memasuki pasaran kerja.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menca­tatkan jumlah terbanyak dengan 2,062 orang, Universiti Malaya (UM) seramai 1,490; Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 1,801; Universiti Sains Malaysia (USM) 1,214 dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah seramai 805 graduan. Lima universiti awam itu mengeluarkan kira-kira 35,000 graduan tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian itu sejajar dengan fokus dan penanda aras baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini peralihan daripada kebolehpasaran gra­duan kepada memperoleh nilai pendapatan tinggi dalam kalangan graduan.

Beliau berkata, pada masa ini, sebanyak lapan syarikat mengesahkan kerjasama dengan KPT terutama dalam membangunkan program pengajian berfokus, pendedahan latihan kemahiran dan kursus jangka pendek lebih awal sejak di alam kampus bagi persediaan pembangunan kepakaran pelbagai bidang sekali gus melayakkan graduan memperoleh gaji premium.

MAHASISWA

Terbaharu, KPT akan menawarkan pinjaman kepada mahasiswa tahun akhir bagi mengikuti program pensijilan profesional pada tahun depan dengan menyediakan tabung berjumlah RM15 juta bagi pelajar-pelajar tahun akhir untuk memohon sijil profesional itu.

“Dalam konteks kerjasama itu, kita mahu pelajar didedahkan dengan pengalaman dan penglibatan dengan pihak industri secara terus.

“Jadi melalui inisiatif ini, ia akan memberikan nilai tambah kepada pelajar dengan membolehkan pihak industri mengambil graduan bekerja dengan gaji yang baik,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, antara lapan syarikat yang bekerjasama ialah pihak Microsoft Malaysia dengan pembangunan program Talent In Tech Accelerator Nationwide dengan memperkukuhkan kecekapan digital melalui latihan kepada pelajar bagi mewujudkan budaya digital-centric.

Di bawah program itu, seramai 1,000 pelajar tahun akhir universiti awam akan menjalani latihan intensif dan praktikal dalam bidang teknologi maklumat secara dalam talian yang diselaraskan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi memastikan program ini mencapai objektif.

“Melalui pelaksanaan program ini, pelajar juga akan menerima manfaat seperti Pensijilan Asas Microsoft serta latihan sebagai persediaan mendapatkan pekerjaan dari segi penyediaan resume, teknik menghadiri temuduga dan pendedahan membangunkan profil peribadi di aplikasi LinkedIn sekali gus membolehkan peserta menjadi sebahagian daripada Komuniti MEET @ LinkedIn.

“Pelajar turut mendapat peluang didaftarkan di dalam pangkalan data bagi penyesuaian pekerjaan dan pelajar yang berjaya menerima pensijilan ini boleh meneroka peluang pekerjaan dengan rakan industri termasuk Air Liquide, Alliance Bank, AmBank Group, Avanade, CIMB Bank, Enfrasys, Experian, Habib Group, Malaysia Aviation Group, Nexperia, OCBC Bank, SCHOTT, Shell dan UOB Bank,” katanya.

MAKLUMAT

Dalam membina kecekapan digital dan penguasaan teknologi maklumat ini, KPT turut bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad dan Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd untuk mewujudkan program latihan digital iaitu MY5G Ericsson Malaysia Pioneers untuk pelajar-pelajar universiti awam (UA) secara percuma melalui modul yang disediakan di dalam Portal Ericsson Educate khusus dalam bidang teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan, internet kebendaan dan sebagainya.

Selain itu ialah kerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk mewujudkan kolaborasi kerjasama teknikal bagi verifikasi dokumen melalui platform digital.

Kata Mohamed Khaled, UTM pula bekerjasama dengan MasterCard dalam membangunkan program pengajian berfokuskan keselamatan siber bagi melaksanakan latihan kemahiran dan kursus jangka pendek, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penubuhan lab satelit yang dinamakan UTM-Mastercard Cyber Innovation Hub.

Selain itu, katanya, kerjasama antara Consortium Malaysian Universities (CMU) yang menaungi 10 buah universiti, TUSAS Malaysia dan Akademi TUSAS bertujuan menyediakan talent pool bermutu tinggi kepada industri aeroangkasa melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan teknologi dari luar negara.

“Pada masa sama, KPT berkolaborasi dengan Tata Consultancy Services untuk membangunkan program latihan dan kursus berkaitan bidang teknologi dan digital kepada para pelajar dan graduan bersesuaian dengan kehendak terkini sektor industri global,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, KPT turut bekerjasama dengan YTL Cement dengan menubuhkan sebuah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri iaitu UKM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak bagi menyediakan peluang biasiswa di peringkat pasca siswazah.

Katanya, geran padanan diberikan untuk menaja pelajar-pelajar sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kelestarian landskap kars tropika bagi membantu negara untuk memulihara warisan ini serta penggunaannya secara lestari.

“Pelaksanaan penyelidikan pelajar pasca graduan di bawah kerjasama ini memberi impak positif kepada pembangunan dan pemuliharaan ekosistem alam sekitar khususnya ekosistem dan landskap kars batu kapur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN