Warga asing pikat warga emas untuk menetap lama di Malaysia - Utusan Malaysia

Warga asing pikat warga emas untuk menetap lama di Malaysia

Pendaftaran pelarian di Malaysia oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaksanakan secara unilateral tanpa penglibatan agensi kerajaan - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lambakan warga asing terus membimbangkan apabila dalam kalangan mereka kini bukan lagi datang mencari rezeki semata-mata sebaliknya berhajat menetap lama di negara ini.

Rakyat Bangladesh dan Pakistan dikesan menggunakan modus operandi mencari wanita tempatan dalam kalangan warga emas dan ibu tunggal untuk dipikat, seterusnya membolehkan mereka membuka perniagaan sendiri dan tinggal lama di sini.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, ketika ini dikesan lelaki Bangladesh, Pakistan dan India semakin ramai yang mencari isteri dalam kalangan warga tempatan.

“Warga emas atau ibu tunggal yang hidup tanpa saudara atau sebatang kara lebih mudah dipikat warga asing untuk dikahwini. Dengan cara ini memudahkan mereka membuka perniagaan dan menetap lama di sini.

“Malah ada yang selepas berkahwin dengan warga tempatan mampu hidup lebih mewah berbanding rakyat negara ini kerana warga asing ini pandai membuka perniagaan seperti menjual karpet atau membuka kiosk menjual pakaian,” kata sumber keselamatan itu.

Kata sumber itu, perkara tersebut tidak lagi asing dan terdapat warga asing yang sanggup berhijrah ke kawasan kampung dari kawasan bandar-bandar besar mencari pasangan wanita tempatan untuk membina hidup lebih senang.

Bagaimanapun, dedah sumber keselamatan itu lagi, terdapat kumpulan warga asing­ semakin ‘besar kepala’ apabila berani melibatkan diri dengan pelbagai jenayah seperti penipuan, curi kenderaan, menyamun dan berbunuh.

Ada terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ada menjadi dalang menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kata sumber, perkembangan itu membimbangkan terutamanya membabitkan pelarian Myanmar menyalahgunakan keistimewaan kad UNHCR untuk berada di Malaysia.

“Mereka tidak kisah tidak dihantar ke negara ketiga. Yang rugi kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan mereka di depot sehinggakan penuh dan sesak,” katanya.

Katanya, warga asing juga semakin berani mendalangi penyeludupan PATI.

AKTIF

“Mereka bergiat aktif dalam kumpulan kecil bagi memalsukan kad pelarian, pasport serta permit kerja.

Bagaimanapun mereka bergerak mengikut kewarganegaraan masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika dihubungi berkata, pelbagai modus ope­randi digunakan PATI untuk masuk ke negara ini termasuk menggunakan pengangkutan awam dan e-hailing.

RUSLIN JUSOH

Beliau berkata, dari Januari hingga 5 Oktober lalu, seramai 45,850 PATI ditahan melalui operasi dan pemeriksaan imigresen di seluruh negara.

Menurut beliau, jika sebelum ini PATI dari Myanmar dan Indonesia yang dikesan menggunakan jalan tikus di sempadan namun risikan terkini mendapati warga Pakistan dan India juga memilih Thailand sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk masuk ke Malaysia.

“Mereka masuk haram kerana tidak lepas masuk sebagai pelancong atau tidak mendapat permit. Selepas menyeludup masuk, ada yang transit di rumah atau hotel sekitar Kelantan sebelum dihantar ke destinasi menggunakan perkhidmatan bas atau e-hailing.

BAYARAN

“Sindiket menggunakan modus operandi berbeza namun bayaran dikenakan antara RM8,000 ke RM10,000 seorang untuk masuk ke sini,” katanya.

Ruslin berkata, dari Januari hingga 5 Oktober lalu, seramai 76,775 warga asing diperiksa dalam 6,813 operasi dengan seramai 46, 850 ditahan. “Seramai 18,653 PATI ditahan dalam operasi manakala kira-kira 27,197 PATI diberkas di pintu masuk sempadan negara manakala 230 majikan ditahan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Daripada 18,653 PATI ditahan, 7,051 orang membabitkan Indonesia, Myanmar (2,840), Bangladesh (2,355), Filipina (2,255) dan Thailand (971). Turut ditahan seramai 841 warga asing India, Pakistan (835), Nepal (531), Kemboja (351), Vietnam (229) dan lain-lain (394),” katanya.

Kata Ruslin, daripada jumlah itu, seramai 13,098 PATI ditahan kerana tiada pas yang sah manakala 3,659 individu kerana tinggal lebih masa, melanggar syarat (1,455 orang), pas palsu (80) dan lain-lain (361).

“Tangkapan majikan melibatkan 79 individu kerana melindungi PATI, membenarkan PATI berada di premis (112), menggaji PATI (35) dan lain-lain (4),” katanya.

Dalam tempoh sama, kita berjaya mengusir seramai 30,075 PATI membabitkan seramai 22,771 lelaki, 6,147 wanita manakala 1,157 kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×