PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan melalui Kertas Putih Kesihatan akan mengkaji kaedah untuk menempatkan pesakit awam di hospital swasta bagi menangani masalah kesesakan wad di hospital kerajaan terutama di Lembah Klang.
Inisiatif melibatkan kerjasama awam dan swasta dalam sektor penjagaan kesihatan itu pernah dilaksanakan semasa pandemik Covid-19.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kesesakan wad yang menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan bergantung kepada kadar penggunaan katil (BOR).
KEPADATAN
Katanya, ini kerana hospital di sekitar Lembah Klang menjadi tumpuan selain kepadatan penduduk yang tinggi.
“Seperti apa yang saya jawab di Parlimen, (sebab itu) diwujudkan kumpulan kerja teknikal bagi menyelesaikan isu-isu low hanging fruit (isu yang paling mudah diselesaikan dahulu) yang berada di hospital.
“Purata BOR hospital di Lembah Klang dalam kadar 80 hingga 90 peratus dan kita cuba kurangkan. Menteri, Dr. Zaliha Mustafa dan saya kerap pergi ke hospital di Lembah Klang untuk melihat keadaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar ini semalam mengenai wad di beberapa hospital Lembah Klang dilaporkan sesak termasuk dalam kalangan pesakit warga emas berikutan kapasiti katil yang terhad.
Lukanisman berkata, antara usaha jangka pendek untuk mengurangkan kesesakan adalah dengan memanjangkan waktu operasi klinik kesihatan sehingga lewat petang.
MUKTAMAD
Menurut beliau, salah satu inisiatif di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) itu diakui bukan satu penyelesaian muktamad, namun berkesan kerana pesakit zon hijau boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terlebih dahulu berbanding terus ke hospital kerajaan.
“Selain itu, kita ada Skim Perubatan Madani yang membolehkan rawatan di klinik perubatan swasta (GP) dilakukan bagi mengurangkan kadar (pesakit) di zon hijau (di hospital kerajaan).
“Apa yang menarik adalah tahap penerimaan skim ini semakin meningkat, jadi sekarang fokus untuk meningkatkan penyertaan GP supaya rakyat boleh ke GP,” katanya.
Bagi penyelesaian jangka panjang, beliau berkata, perkara itu adalah melalui Kertas Putih yang dilaksanakan secara berfasa sama ada dalam tempoh lima, 10 dan 15 tahun dengan gerak kerjanya sudah bermula.
“Kita sekarang pertimbangkan pelbagai kaedah. Apakah perlu tambahkan katil-katil atau pembinaan infrastruktur di hospital, tetapi ini sangat bergantung kepada kemampuan fiskal negara.
“Walaupun bajet Kementerian Kesihatan 2024 sangat besar, tetapi kebanyakannya adalah untuk gaji kerana kerajaan telah memberi komitmen untuk menawarkan jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak dan proses ini akan berlaku hingga 2025,’’ katanya.
PERHATIAN
Jelas Lukanisman, walaupun mempunyai kemampuan untuk membina hospital baharu di Lembah Klang tetapi kementerian juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan di luar Lembah Klang yang masih dalam keadaan tidak kurang memuaskan.
“Ada klinik-klinik kesihatan masih tidak ada pakar dan hospital yang tidak cukup katil,’’ katanya.
Katanya, pembangunan bukan mengikut keperluan semasa sahaja tetapi lebih penting lagi untuk jangka panjang.
“Oleh itu, perlu satu perubahan sikap masyarakat agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat kerana penyakit berkaitan gaya hidup di Malaysia sangat tinggi,” katanya. – UTUSAN










