'Tiada selera makan, kami hanya mahu selamat'

‘Tiada selera makan, kami hanya mahu selamat’

WANITA Palestin bersama anak-anak mereka menyelamatkan diri berikutan serangan udara tentera Israel di sepanjang jalan di Bandar Gaza, Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami tidak tahu apa jadi dekat rumah, kami lari tinggalkan semua dekat sana, cuma pakai baju datang sini.

“Ketika ini kami makan apa sahaja yang ada seperti roti untuk mengalas perut. Tetapi dalam keadaan begini, kami tidak ada selera untuk makan sebab yang penting sekarang bukan makanan, cuma mahu rasa selamat, itu sahaja.”

Demikian pengakuan seorang wanita warga Palestin di Semenanjung Gaza yang lari sehelai sepinggang selepas khuatir rumahnya akan dibom tentera Israel.

Dia menceritakan detik cemas itu ketika ditemu bual oleh wanita rakyat Malaysia yang kini berada di Gaza, Nurul Ain Harun sebelum dikongsi videonya kepada Utusan Malaysia.

Dalam rakaman tersebut, wanita warga Palestin itu memberitahu, dia kini terpaksa menumpang di rumah rakannya selepas meninggalkan rumahnya yang terletak berdekatan sempadan Palestin-Israel.

Bagaimanapun, katanya, ini bukan pertama kali rumahnya terlibat dalam serangan bom selepas pernah hancur dalam peperangan pada 2014.

“Apa yang penting sekarang adalah kami mahu rasa selamat, itu sahaja. Anak-anak pun takut, kasihan mereka yang sepatutnya layak menjalani kehidupan lebih bagus lagi,” katanya.

Sepanjang rakaman kira-kira 18 minit, lebih tiga letupan bom dapat didengar dengan jelas menerusi video tersebut.

Dalam pada itu, Nurul Ain menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu berkongsi rezeki bersama rakyat Palestin yang teruk terjejas.

Malah, wanita warga Palestin itu juga mengharapkan rakyat Malaysia dapat menyaksikan sendiri penderitaan mereka di sana.

“Ini peluang untuk ceritakan dekat orang dan sampaikan gambaran kepada Malaysia apa yang jadi di sini.

“Selalu orang dengar sahaja apa jadi di Gaza, tetapi awak di sini boleh hadapi sendiri apa yang jadi,” katanya kepada Nurul Ain.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Nurul Ain ketika ini terkandas di Gaza selepas pertama kali bertemu mentuanya sejak enam tahun berkahwin dengan Mohamed Adnan yang juga warga Palestin.

Dia dan suaminya tiba di Khan Yunis pada 1 Oktober lalu selepas hampir sembilan tahun suaminya tidak pulang ke tanah air kerana bekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Setakat Khamis, dilaporkan seramai 1,537 rakyat Palestin yang meninggal dunia di Gaza sejak Israel melancarkan serangan balas dendam pada Sabtu, termasuk 500 kanak-kanak dan 276 wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN