Tiada lesen pemandu, kesalahan tertinggi babitkan kenderaan komersial di N. Sembilan - Utusan Malaysia

Tiada lesen pemandu, kesalahan tertinggi babitkan kenderaan komersial di N. Sembilan

HANIF Yusabra Yusuf (dua dari kiri) membuat pemeriksaan pada Operasi Penguatkuasaan Khas Kenderaan Komersial (Perdagangan) di Stesen Penguatkuasa Pedas, Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kesalahan membabitkan tiada lesen pemandu menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membabitkan kenderaan komersial (Perdagangan) di negeri ini sejak bulan Januari sehingga September lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bagi kesalahan berkenaan, sebanyak 4,711 kes telah direkodkan daripada jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan iaitu sebanyak 15,639 dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, kesalahan kedua tertinggi pula melibatkan pelesenan kenderaan iaitu sebanyak 3,785 diikuti kesalahan teknikal kenderaan (2,882); lebih muatan (2,160) dan lain-lain kesalahan (1,274) dan kesalahan utama (827).

“Pemandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah tidak mengira mereka itu warganegara Malaysia ataupun bukan warganegara. Sekiranya kami dapati pemandu tidak mempunyai lesen yang sah, saman akan dikeluarkan dan tindakan penyitaan kenderaan akan dibuat jika pemandu tidak mempunyai lesen yang sah.

“Dalam keadaan itu juga JPJ akan melaksanakan siasatan pengauditan ke atas kenderaan yang didapati melakukan kesalahan berulang kali.

“Sekiranya didapati bahawa mereka ini melakukan kesalahan dengan banyak dan pengauditan telah dilaksanakan, mereka berisiko untuk digantung perlesenanan dan digantung lesen perkhidmatan mereka di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya kepada pemberita sempena Operasi Penguatkuasaan Khas Kenderaan Komersial (Perdagangan) di Stesen Penguatkuasa Pedas, di sini, hari ini.

Sebagai rekod, JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 33,156 kenderaan komersial sepanjang tempoh bulan Januari hingga September lalu dan sejumlah 9,607 buah daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, operasi berkenaan diadakan bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu serta juga pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta APAD 2010.

Menurutnya, setakat ini juga sebanyak 57 buah kenderaan komersial telah disita atas kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) dan juga insurans.

Tambahnya, menerusi laporan pemeriksaan dan audit keselamatan (JISA) bagi kenderaan komersial ini, sebanyak enam buah syarikat yang masih digantung lesen pengendali dari tahun 2022 disebabkan kesalahan berulang yang dilakukan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya