Agong tarik balik gelaran `Tan Sri’ Isa Samad

Agong tarik balik gelaran `Tan Sri’ Isa Samad

MOHD. ISA ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan penarikan balik kurniaan Darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepada bekas Pengerusi Felda, Mohd. Isa Abdul Samad, berkuat kuasa Isnin lalu.

Jabatan Perdana Menteri berkata, penarikan balik darjah kebesaran itu bersangkutan dengan Mohd Isa yang disabitkan kesalahan dan kini sedang menjalani hukuman pemenjaraan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Menurutnya, tindakan tersebut selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Perenggan XXV dan XXV(A), yang memperuntukkan bahawa darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerimanya disabitkan dengan sesuatu kesalahan.

“Serta titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan pada 7 September 2024 di Istana Negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada Februari lalu, Mohd Isa diperintahkan menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan dan hukuman terhadapnya atas pertuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nordin Hassan membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan pembebasan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Panel hakim itu turut mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md. Arip. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN