Infantino pertahan harga tiket, isu visa Piala Dunia

Infantino pertahan harga tiket, isu visa Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Presiden Persekutusan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mempertahankan penganjuran Piala Dunia 2026 susulan kritikan berhubung isu visa dan harga tiket yang dianggap terlalu mahal menjelang sepak mula kejohanan itu, esok.

Berucap pada sidang akhbar rasmi di Mexico City sempena perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan di Stadium Azteca, Infantino menegaskan FIFA telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.

Beliau berkata, harga tiket yang ditawarkan adalah munasabah dan masih lebih rendah berbanding beberapa acara sukan utama di Amerika Utara.

“Harga tiket masuk serendah AS$60 (RM122) yang ditawarkan adalah antara yang paling rendah bagi acara sukan peringkat tertinggi di rantau ini.

“Malah, purata harga tiket yang berada di bawah AS$500 (RM2,037) juga masih kompetitif jika dibandingkan dengan acara sukan profesional lain,” katanya.

FIFA sebelum ini menerima kecaman susulan laporan terdapat tiket bagi beberapa perlawanan yang dijual pada harga mencecah lebih AS$30,000 (RM122,000).

Dalam perkembangan sama, Infantino turut mengulas isu membabitkan pengadil dari Somalia, Omar Artan yang gagal memasuki Amerika Syarikat selepas pihak imigresen negara itu membangkitkan kebimbangan keselamatan.

Menurut beliau, FIFA tidak mempunyai kuasa terhadap semua urusan berkaitan imigresen, namun sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi setiap masalah yang timbul.

“Apa yang berlaku adalah sesuatu yang malang. Kami cuba menyelesaikan setiap isu secara profesional dan tidak semua perkara berada dalam kawalan FIFA,” katanya.

Artan kemudiannya disahkan tidak akan bertugas pada kejohanan itu selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat mendakwa dia mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki terlibat dalam organisasi pengganas.

Sementara itu, Infantino menyifatkan penyertaan Iran dalam kejohanan tersebut sebagai satu kejayaan besar di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang melanda negara berkenaan.

“Ramai meragui Iran mampu hadir ke Piala Dunia kali ini. Namun akhirnya mereka tetap dapat mengambil bahagian dan itu membuktikan komitmen FIFA dalam memastikan sukan menyatukan semua pihak,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN