PETALING JAYA: “Setiap saat bunyi letupan dan bom kedengaran ekoran serangan udara dilancarkan oleh tentera Israel di Gaza”.
Demikian cerita daripada Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar mengenai keadaan semasa di Gaza yang perlu dihadapi oleh pihaknya di sana dalam membantu rakyat Palestin.
Namun, katanya, wakil-wakil MCM di sana tetap cekal menyalurkan bantuan walaupun mungkin terkena tempias daripada serangan dilakukan oleh rejim zionis.
“Kalau ikut respons pengerusi kami di Gaza, memang keadaan sangat-sangat teruk. Bagi pihak MCM, kita dah lakukan dua fasa bantuan yang menghampiri RM400,000, namun ia tersangat-sangat terhad dan kami sekarang pentingkan kepada makanan sudah dimasak serta bekalan perubatan.
“Setiap hari pihak kami jalankan aktiviti bantuan di sana walaupun setiap masa kedengaran bunyi letupan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahmad Safuan berkata, pasukannya kekal bersama rakyat Palestin walaupun pihak Israel memberi amaran evakuasi dan berpindah ke Selatan Gaza.
“Beberapa pihak kami di Palestin masih kekal berada di lokasi untuk bersama-sama dengan penduduk-penduduk yang masih tidak mahu keluar daripada kediaman mereka walaupun Israel memberi amaran.
“Mereka akan terus bekerja demi mengagihkan bantuan yang disampaikan oleh rakyat Malaysia terus kepada mangsa di Palestin, walau apa cara sekalipun,” katanya.
Tambahnya, walaupun pihak Israel mengumumkan akan melancarkan serangan melalui darat tetapi ia masih belum berlaku, rejim zionis masih fokus melakukan serangan di udara.
“Jadi kalau serangan darat berlaku memang agak terganggu untuk kami salurkan bantuan, buat masa ni kami manfaatkan apa sahaja kemudahan yang ada untuk menjayakan pemberian bantuan. Alhamdulilah setakat ini tidak ada kehilangan nyawa atau cedera dihadapi oleh pihak kami,” katanya. – UTUSAN










