KUALA LUMPUR: Semua projek di bawah program Kampung Angkat Madani perlu melibatkan secara langsung Ahli Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, penglibatan wakil rakyat penting bagi memastikan pelaksanaan program itu lebih teratur, selain membolehkan sebarang kelemahan dikenal pasti dan ditambah baik.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri terbuka menerima maklum balas berhubung pelaksanaan program berkenaan.
“Memang dalam Belanjawan 2027, program-program ini akan diteruskan dan kerajaan menerima baik cadangan Yang Berhormat supaya semua projek yang dilaksanakan perlu melibatkan secara langsung Ahli Parlimen.
“Kalau ada apa-apa kelemahan, sila kemukakan kepada Kementerian Kewangan dan ICU untuk penambahbaikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) yang meminta penjelasan mengenai keberkesanan pelaksanaan program Kampung Angkat Madani, termasuk cadangan mewajibkan libat urus dengan wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan pembaziran peruntukan.
Richard turut meminta penjelasan mengenai hala tuju kerajaan berhubung inisiatif itu, sama ada akan diteruskan atau dirombak pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Chin Tong berkata, idea asal program berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada pegawai kanan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.
“Idea asal ialah untuk memastikan pegawai tinggi dalam kerajaan dan juga GLC dapat peluang untuk mendekati akar umbi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan terdapat kelemahan dalam pelaksanaan program itu di sesetengah kawasan dan meminta wakil rakyat mengemukakan maklum balas bagi membolehkan tindakan penambahbaikan diambil.
“Walaupun saya faham kalau ada tempat di mana ada kelemahan, minta maklumkan, beri maklum balas kepada Kementerian Kewangan dan juga kepada ICU. Kami akan membaiki untuk maklumat secara terperinci untuk kawasan Kulim Bandar Baru saya akan semak dan beri jawapan bertulis,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang meminta penjelasan mengenai kemungkinan penambahan Kampung Angkat Madani di kawasan Parlimennya, selain membangkitkan isu kelewatan pembangunan, kualiti kerja kontraktor dan penglibatan GLC serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam program berkenaan. – UTUSAN











