Program Kampung Angkat MADANI bawa limpahan ekonomi buat penduduk

Program Kampung Angkat MADANI bawa limpahan ekonomi buat penduduk

AMIR Hamzah Azizan (kanan) beramah mesra dengan kanak-kanak ketika meninjau sebuah perpustakaan desa semasa sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Program Kampung Angkat MADANI yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan kini memberi manfaat langsung kepada penduduk di Kampung Pulau Betong di sini, melalui pelbagai projek pembangunan fizikal dan komuniti.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif di bawah Belanjawan 2025 itu kini menumpukan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan kemudahan lebih selesa, selamat dan mesra rakyat, pengukuhan ekonomi setempat serta pembangunan komuniti secara menyeluruh dan inklusif.

“Peningkatan kemudahan ini bukan sahaja memperbaiki infrastruktur asas, malah ia memberi kesan positif kepada aktiviti ekonomi, keselamatan dan keselesaan harian kira-kira 1,200 penduduk kampung,” katanya selepas sesi turun padang di Kampung Angkat Madani Pulau Betong, hari ini.

Menurut beliau, pelbagai projek pembangunan fizikal telah siap sepenuhnya termasuk menaik taraf dewan dan perpustakaan desa, pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung untuk murid sekolah agama, naik taraf masjid, pembinaan pusat penjaja serta dataran komuniti yang kini menjadi tumpuan penduduk setempat.

“Kawasan kampung turut diberi wajah baru dengan tarikan ‘instaspot’ dan baik pulih homestay bagi meningkatkan kapasiti pelancong dan pendapatan isi rumah.

“Selain itu, program pemerkasaan komuniti seperti kursus pembaikan enjin bot, bengkel pembaikan telefon bimbit, bengkel batik dan bengkel masakan membuka peluang kepada golongan belia dan B40 untuk menjana pendapatan tambahan serta menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memperkukuh sektor pelancongan pula, kerajaan turut menyediakan bot dan enjin, kelengkapan keselamatan, lampu dan sistem GPS serta membina jeti bot pelancong bagi menyokong program eko pelancongan pulau.

“Dengan majoriti penduduk terlibat dalam sektor perikanan, pertanian, perindustrian dan perkhidmatan awam, pelaksanaan projek ini mampu meningkatkan peluang ekonomi, memperkukuh daya saing komuniti serta memastikan pembangunan mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding mewakili mana-mana parti di kawasan Parlimen Balik Pulau memandangkan kerap turun padang di sini, Amir Hamzah berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk terus menabur bakti kepada negara melalui peranan yang disandang, sekali gus memanfaatkan pengalaman serta kepakaran teknikal yang dimiliki.

Beliau berkata, peluang berkhidmat dalam jawatan Senator ketika ini juga telah memberi ruang untuk beliau menyumbang kepada pembangunan negara secara lebih menyeluruh.

“Saya dikenali sebagai seorang teknokrat. Jadi, saya akan berusaha dengan cara yang saya boleh untuk menolong negara sebaik mungkin. Dengan pekerjaan saya sekarang, saya ada peluang untuk menabur bakti,” kata anak kelahiran Pulau Pinang itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN