13 juta rakyat terima Sara Madani RM200

13 juta rakyat terima Sara Madani RM200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13 juta rakyat Malaysia dijangka menerima manfaat bantuan Sara Madani sebanyak RM100 sebanyak dua kali iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara bagi meringankan perbelanjaan isi rumah.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perkara itu merupakan pengumuman Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat termasuk termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40) khususnya menangani peningkatan kos sara hidup.

Menurut Chin Tong, bagi meringankan perbelanjaan isi rumah, bantuan Sara Madani sebanyak RM100 akan diberikan sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan 70 tahun kemerdekaan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inisiatif itu dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Pilah) mengenai langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar.

Chin Tong berkata, inisiatif Belanjawan 2027 juga merangkumi pengurangan cukai pendapatan individu, perluasan pelepasan cukai, bantuan tunai serta perluasan subsidi bagi meringankan beban perbelanjaan isi rumah.

“Bagi menangani kos sara hidup, had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi julat pendapatan bercukai tertentu.

“Selain itu, kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 dikurangkan kepada 18 peratus, manakala banjaran pendapatan bercukai antara RM100,001 hingga RM150,000 dikurangkan kepada 24 peratus.

“Kerajaan turut memperluas pelepasan cukai individu meliputi rawatan perubatan, penjagaan selepas bersalin serta perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, selain pembelian kasut sukan,” katanya.

“Bagi bahan api pula, kelayakan asas Budi Madani sehingga 300 liter sebulan boleh digunakan secara fleksibel,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan kadar harga bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober 2026, subsidi bagi penggunaan penuh 300 liter RON95 memberikan manfaat RM789 sebulan bagi setiap individu, manakala penerima yang layak menggunakan 400 liter diesel memperoleh manfaat subsidi RM1,228.

“Kerajaan turut meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani kepada RM750 juta dengan sasaran 35,000 penganjuran, selain menaikkan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid tanpa mengira golongan.

“Kemudahan pas perjalanan bulanan My50 juga diteruskan, manakala pas bulanan MyKomuter50 diperkenalkan bagi memanfaatkan 40,000 pengguna KTM Komuter.

“Bagi membantu golongan M40 memiliki rumah pertama, kerajaan turut mencadangkan penambahbaikan pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik,” katanya.

Jelas beliau, pengecualian 100 peratus dicadangkan bagi rumah berharga sehingga RM500,000.

Tambahnya, bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian penuh diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus.

Sementara itu, Chin Tong berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan kajian konsep dan pengkelasan T15 bagi mencari definisi dan mekanisme untuk kumpulan berkenaan.

“Kajian untuk T15 atau klasifikasi dijalankan oleh Kementerian Ekonomi,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai dapatan terakhir berhubung kajian T15. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini