Scammer pilih Malaysia sebab kemudahan teknologi

Scammer pilih Malaysia sebab kemudahan teknologi

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket peni­puan dalam talian yang menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat pusat panggilan (calling centre) di rantau ini dengan menyasarkan mangsa di luar negara disebabkan perkembangan pesat teknologi di negara ini.

Malah, bukan sahaja Malaysia dijadikan ibu pejabat sindiket penipuan, sebaliknya perkara itu turut berlaku di negara-negara lain.

Bercakap Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan atau scammer adalah jenayah rentas sempadan, bukan hanya berlaku di negara ini malah hampir di seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, sia­satan pihaknya mendapati ke­banyakan pusat panggilan untuk sindiket penipuan yang diserbu untuk tujuan mencari mangsa dari negara-negara tertentu, bukan hanya memilih mangsa dalam kalangan penduduk tempatan.

“Contohnya sebelum ini, ada sindiket menyasarkan mang­sa dari Australia, China dan lain-lain. Bukan sahaja untuk mangsa di negara ini. Kegiatan scammer merupakan jenayah rentas sempadan

“Selagi ada peluang dan teknologi, sindiket akan mencipta pelbagai modus operandi untuk menipu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pihaknya melakukan operasi secara proaktif bagi membanteras jenayah yang dilihat semakin meningkat sejak beberapa tahun ini.

Katanya, seramai 2,135 individu ditahan dalam 322 serbuan di pusat-pusat panggilan di negara ini.

Jelas beliau, jumlah itu membabitkan 1,468 warga tempatan dan 667 warga asing.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat warga asing yang terlibat dengan kegiatan tersebut di negara ini akibat dipaksa seperti berlaku kepada rakyat Malaysia di Peru.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka terlibat secara sukarela kerana gaji ditawarkan lumayan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan sindiket peni­puan dalam talian didakwa turut menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat bagi merancang tak­tik licik memperdayakan mangsa sehingga mengalami kerugian mencecah ratusan ribu seorang.

Sumber berkata, sindiket itu juga didakwa aktif merekrut dan melatih pekerja tentang teknik penipuan dan bertugas di pusat panggilan di ibu pejabat mereka.

“Antara penipuan yang ke­rap dilaporkan ialah tawaran pekerjaan tidak wujud, Macau Scam, Love Scam dan penipuan pelaburan,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ramli mendedahkan, RM1.2 bilion kerugian membabitkan kes penipuan direkodkan dalam tempoh sembilan bulan bermula Januari hingga September lalu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan jenayah komersial 31,388 kes direkodkan pada 2021 diikuti 30,536 kes (2022) manakala kira-kira 30,992 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN