`Rakyat mentaliti subsidi' - Utusan Malaysia

`Rakyat mentaliti subsidi’

Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran jika mahu hapuskan subsidi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan bakal menempuh ca­baran sukar untuk menghapuskan subsidi kerana mentaliti rak­yat yang sangat mengharap­kan bantuan, lebih-lebih lagi ketika kos sara hidup terus melonjak.

Dasar subsidi akan terus membebankan kewa­ngan negara kerana trend per­be­lanjaan untuk subsidi kini terpaksa ditambah berbanding peruntukan disediakan dalam pembentangan belanjawan.

Kerajaan melalui Belanjawan 2023 menyediakan RM64 bi­lion untuk subsidi membabitkan pelbagai barang dan perkhidmatan namun jumlah itu tidak cukup dan dijangka melonjak ke­pada RM81 bilion menjelang hujung tahun ini.

Tahun 2022 turut menyaksikan perbelanjaan subsidi me­ningkat sehingga lebih RM70 bilion berbanding peruntukan dalam belanjawan yang disediakan hanya RM31 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kehormat, Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, kebergantungan rakyat terhadap subsidi sukar diubah kerana inisiatif itu sudah diamalkan lebih 60 tahun.

Menurut beliau, hidup dengan subsidi seperti sudah menjadi ‘ketagihan’ dan inisiatif itu tidak boleh dihapuskan serta-merta kerana bukan sahaja rakyat terbeban tetapi membangkitkan kemarahan.

INSENTIF

“Dalam ekonomi, ada carrot dan stick. Kita ada dua cara iaitu beri carrot atau insentif seperti subsidi, manakala keduanya stick iaitu hukum mereka.

“Kalau tarik balik hukuman tentu orang suka, tetapi jika tarik balik yang berbentuk insentif dan subsidi, siapa yang suka?

“Sedangkan salah satu per­belanjaan besar dalam negara ialah subsidi. Apabila subsidi kita tinggi, maka kedudukan kewangan negara mengalami defisit atau bermaksud ber­belanja lebih daripada hasil, jadi itu yang kemungkinan terpaksa buat pinjaman,” kata beliau.

Kata Madeline, defisit dengan jumlah yang besar dan berterusan akan menyebabkan pelabur asing takut untuk melabur kerana beranggapan Malaysia tidak pandai mengurus ekonomi.

Untuk rekod, perbelanjaan subsidi yang melibatkan kos besar kepada kerajaan meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan elektrik.

Bagaimanapun, pada 4 Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun jumlah subsidi bakal mencecah RM81 bilion namun mengurangkan subsidi bukanlah satu pilihan untuk dilaksanakan kerana langkah itu akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

ASAS

Mengulas lanjut, Madeline berkata, kerajaan perlu mengekalkan subsidi untuk barangan keperluan asas ter­tentu bagi terus membantu meringankan beban rakyat dalam tempoh jangka masa pendek.

Katanya, subsidi untuk barang asas tersebut perlu kerana mengambil kira faktor ekonomi semasa yang ketika ini tidak memberansangkan.

“Misalnya kerajaan baru melancarkan subsidi beras import di Sabah dan Sarawak sebab sekiranya bekalan beras tempatan tidak ada, maka pilihannya adalah beras import, tetapi ia terlalu mahal kalau tidak disubsidikan.

“Jadi subsidi perlu untuk keperluan asas begitu. Tidak boleh dikatakan perlu dihapuskan kecuali ada pengganti, maka kerajaan kena laksanakan subsidi bersasar secepat mungkin,” jelasnya.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, bukan soal mentaliti masyarakat, tetapi subsidi masih perlu bagi mengimbangi peningkatan harga barangan tetapi pendapatan rakyat masih rendah.

Justeru, katanya, kehidupan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan tidak setimpal dengan kenaikan kos sara hidup boleh menjadi lebih sukar sekiranya subsidi tiada.

BELANJA

“Majoriti subsidi yang menelan belanja besar disebabkan subsidi petrol, diesel dan barangan asas serta elektrik. Kalau subsidi ini tidak ada, ia akan menyebabkan semua harga barangan itu meningkat.

“Cuma perlu penambahbaikan sebab kebanyakan subsidi dinikmati oleh pihak yang tidak layak, jadi perlu secara bersasar. Misalnya golongan T20 yang sepatutnya mampu menikmati 30 peratus subsidi diesel dan petrol, jadi penggunaan mereka lebih tinggi daripada M40 dan B40,” katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sebarang penghapusan subsidi bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat, tetapi juga negara.

Menurut beliau, ini kerana subsidi membantu kumpulan yang memerlukan untuk berbelanja dalam pasaran dan ia mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, subsidi misalnya dalam bentuk harga telur, beras, ayam dan minyak itu dipanggil sebagai satu hijan dalam mengawal inflasi kerana ia telah menutup apa yang berlaku sebenarnya.

“Contoh, subsidi petrol dan diesel menyebabkan harga di pasaran rendah dan itu mengurangkan kos operasi kepada pengeluar serta peniaga dan boleh menjual dengan lebih rendah kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN