PRK Kemaman: BN akan tanding, tak beri laluan

PRK Kemaman: BN akan tanding, tak beri laluan

NIK DIR WAN KU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu mengesahkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Nik Dir Wan Ku berkata, BN tidak akan memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dalam PRK itu seperti dilakukan pada PRK Parlimen Kuala Terengganu, Ogos lalu.

Menurutnya, walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, ia bukan alasan parti itu untuk menarik diri bertanding dalam PRK nanti.

CALON

“Saya ingin tegaskan, BN akan meletak calon untuk bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman, 2 Disember depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Malah, beliau memberitahu, UMNO Bahagian Kemaman juga telah mengenal pasti beberapa nama calon berkaliber untuk dipilih sebagai calon untuk merampas semula kerusi tersebut daripada Pas.

Katanya, salah seorang calon bakal calon tersebut yang dijangka dipilih merupakan anak tempatan dan muka baharu yang tidak pernah dalam pilihan raya sebelum ini.

Tambahnya, bakal calon tersebut juga bukan dalam kalangan ahli jawatankuasa UMNO di peringkat bahagian Kemaman.

“UMNO percaya pihak pengurusan parti akan memilih calon yang berpotensi untuk menang dalam PRK tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Dir berkata, UMNO juga telah menyusun gerak kerja untuk menjalankan kempen menjelang PRK itu.

MAJORITI

Menurutnya, kekalahan BN dengan majoriti kira-kira 27,000 undi juga tidak mematahkan semangat juang jentera parti untuk berkempen habis-habisan.

“Kempen dalam PRK berbeza berbanding PRU atau PRN lalu apabila pihak parti akan memberi tumpuan sepenuhnya di Parlimen tersebut. Sehubungan BN mempunyai peluang untuk memenangi semula di kerusi itu,” katanya.

Mingguan Malaysia semalam mela­porkan, PH Terengganu bersedia untuk bertanding ada PRK Parlimen Kemaman sekiranya UMNO tidak berminat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu nanti.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya bagaimanapun tetap menghormati UMNO sebagai pilihan pertama untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Katanya, ini kerana parti di bawah gabungan BN yang mengambil inisiatif memfailkan petisyen ke Mahkamah Pilihan Raya Terengganu sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN