KEMAMAN : Majoriti lebih besar yang diperoleh calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kelmarin adalah gambaran penolakan pengundi di Parlimen tersebut terhadap kerajaan Pusat.
Pengundi di Kampung Mak Chili, Mohd. Khairi Sidek, 41, berkata, perubahan sokongan pengundi kepada Pas adalah isyarat rakyat tidak bersetuju dengan cara pemerintahan kerajaan Pusat dan BN sekarang.
“Banyak isu yang membebankan kami terutama harga barang. Kami orang berpendapatan rendah, kalau harga barang naik, memang sangat menyusahkan,” katanya.
Bagi pengundi muda, Syazwani Akira Mohd Husin, 18, kecemerlangan Ahmad Samsuri memimpin Terengganu membuatkan ramai pengundi muda memilih untuk memberi sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu.
“Kami nampak Dr. Sam (Ahmad Samsuri) dapat menjadi pemimpin yang baik sebab sebelum ini manifesto Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 telah ditunaikan.
“Saya percaya Dr. Sam akan dapat membawa banyak pembangunan kepada Kemaman dan Terengganu walaupun beliau banyak komitmen,” katanya.
Bagi seorang warga emas, Fatimah Ismail, 63, yang turut berarak meraikan kemenangan Pas berkata, parti itu menjadi semakin kuat selepas rakyat tidak lagi memilih BN.
“BN sekarang menjadi macam Pas dahulu. Pas banyak berubah memperbaiki prestasi parti dan melakukan banyak perubahan untuk rakyat.
“Ahmad Samsuri pula bijak mentadbir. Mak cik nampak apa perubahan yang Pas buat untuk Terengganu seperti memudahkan urusan pemilikan tanah tanpa mengira politik, banyak juga isu-isu yang sebelum ini tak diselesaikan BN,” katanya. – UTUSAN










