PRK Kemaman referendum rakyat: Harap Pas tidak mimpi siang hari - Ahmad Zahid

PRK Kemaman referendum rakyat: Harap Pas tidak mimpi siang hari – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu lalu tidak boleh dianggap sebagai referendum rakyat kerana ia hanya satu ‘kepompong’ kecil, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu turut mempersoalkan bagaimana 141,000 pengundi di Kemaman boleh dianggap sebagai satu referendum rakyat.

“Kita tidak boleh anggap sebagai referendum kerana itu satu kepompong kecil di Kemaman.

“Mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap sebagai satu referendum. Jadi kita harap mereka (Pas) tidak bermimpi di siang hari,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kemenangan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas dalam PRK Kemaman membuktikan referendum rakyat terus berpihak kepada kepimpinannya dan gabungan PN.

Takiyuddin berkata, dengan meraih majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi di kerusi berkenaan bukan sahaja menunjukkan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Malah menurutnya, ia juga mengesahkan momentum sokongan menaik kepada PN dalam beberapa siri PRK pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk di Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Pelangai.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan bahawa tiada peningkatan sokongan terhadap calon Pas pada PRK Kemaman.

Sebaliknya, beliau berkata, terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya UMNO membabitkan kira-kira 10,000 pengundi.

“Tidak ada peningkatan sokongan kepada calon Pas, tetapi terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya UMNO kira-kira 10,000.

“Oleh sebab itu apabila hanya 68.3 peratus sahaja pengundi-pengundi putih UMNO yang keluar mengundi, maka ia telah menyumbang kepada majoriti yang bertambah kerana pengundi kita tidak keluar,” katanya.

Sabtu lalu, Ahmad Samsuri menewaskan pencabarnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menerusi pertembungan satu lawan satu.

Naib Presiden Pas tersebut memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 27,778 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya