Naratif Dr. Samsuri bakal PM berkesan

Naratif Dr. Samsuri bakal PM berkesan

DR. Ahmad Samsuri Mokhtar meraikan kemenangannya dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naratif Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bakal Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) dilihat berjaya mempengaruhi pengundi Parlimen Kemaman supaya mengekalkan penguasaan Pas, malah dengan majoriti lebih besar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, naratif itu di­terima pengundi Kemaman.

“Jadi orang Kemaman percaya sebab bila lagi orang Terengganu mahu jadi Perdana Menteri. Cuma setakat Parlimen Kemaman itu berkesan, walaupun pada realitinya bukan se­nang Pas mahu menjadi Perdana Menteri.

PRESTASI

“Oleh itu, naratif itu boleh diterima pengundi sebab mereka melihat prestasi Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu selama dua penggal dan nampak ada kebolehan di situ,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Mazlan tidak menolak kemungkinan kemenangan Pas disumbangkan sentimen pengundi Parlimen Kemaman yang tidak senang dengan petisyen dibuat Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Sudah ada persepsi negatif bahawa BN sengaja mahu buat pilihan raya, maka sentimen rakyat terpaksa balik mengundi.

“Selain itu, naratif UMNO-DAP yang dibawa menyebabkan ada sejumlah undi protes ahli dan penyokong UMNO yang takut kepada DAP. Jadi berlakunya peralihan undi kepada Pas. Di Selangor pun, (PN) boleh menang 22 kerusi (Dewan Unda­ngan Negeri) sebab ada pera­lihan undi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Faktor lain adalah calon BN tidak memberi kelebihan kepada UMNO. Calon BN pada mulanya kelihatan gah dan bagus sebab bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi apabila bercakap, orang sudah nampak kekurangan bahawa beliau bukan pemidato yang baik.

“Boleh lihat dalam media sosial, ada ucapan calon BN itu orang tidak faham. Jadi perkara itu dijadikan bahan kempen dan pada saya ia bahan kempen yang sangat berkesan,” katanya.

Ketika ditanya mengapa Parlimen Kemaman boleh menjadi berubah menjadi kubu kuat Pas berbanding kubu kuat UMNO, Mazlan berkata, pengundi terutama anak muda sudah mula berani menyokong Pas sejak 2018.

Katanya, ini berikutan anak muda tidak gemar dengan UMNO yang mempunyai banyak isu termasuk isu warlord dan berkaitan integriti.

“Terengganu sekarang ini bertukar menjadi lubuk Pas kera­na pengundi muda yang besar, sedangkan UMNO tidak dapat tangani mereka sebab masih menggunakan cara lama,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN