KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan semalam mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasport yang ditahan Mahkamah Sesyen di sini ekoran pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya
Timbalan Pendakwa Raya Asma Ahmad berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan berhubung bantahan yang dikemukakan.
Sementara itu, peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Muhyiddin berkata, pihak pembelaan turut memohon satu tarikh baharu bagi membalas afidavit pihak pendakwaan.
Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan 23 November ini bagi pendengaran permohonan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi mendapat pelepasan sementara pasportnya.
Mahkamah turut menetapkan afidavit jawapan pihak pendakwaan difailkan sebelum 8 November manakala afidavit balasan pihak pembelaan difailkan sebelum atau pada 17 November.
“Saya turut menetapkan 21 November ini bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis secara serentak,’’ kata Azura.
PASPORT
Semalam mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Muhyiddin, 76, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan semula pasport bagi membolehkan beliau bercuti bersama keluarga di luar negara.
Ahli Parlimen Pagoh itu yang masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira RM200 juta, memfailkan permohonan pada Isnin lalu agar pasportnya dilepaskan tanpa syarat.
Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonannya, Muhyiddin berkata, beliau kebiasaannya membawa keluarga bercuti selama sebulan setiap tahun.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, perancangan untuk bercuti tahun ini tidak terkecuali dan ingin membawa keluarganya ke London, United Kingdom pada akhir tahun.
Katanya, percutian itu penting bagi membolehkan masa diluangkan bersama mereka kerana beliau sekeluarga amat tertekan ekoran perkembangan yang berlaku tahun ini.
“Saya difahamkan daripada ejen pelancongan bahawa sukar untuk mendapatkan tiket penerbangan dan mengatur perjalanan percutian melibatkan jumlah yang ramai ke London terutama berdekatan dengan Krismas dan Tahun Baharu.
“Oleh demikian, langkah berjaga-jaga diambil untuk menempah tiket penerbangan bagi saya dan isteri terlebih dahulu sebelum ahli keluarga lain.
“Saya berharap mahkamah akan membenarkan permohonan supaya boleh meluangkan masa dengan ahli keluarga dalam percutian tahunan,” katanya menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan pada Isnin lalu. – UTUSAN









