
JIKA mengambil kira jumlah 7,308 undi Barisan Nasional (BN) dan 2,031 undi Pakatan Harapan (PH), calon BN, Datuk Amizar Abu Adam mampu meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Sabtu ini.
Jumlah itu lebih besar berbanding undi diterima penyandang ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun meskipun pada waktu tersebut politik tanah air dikejutkan dengan Gelombang Hijau dibawa Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menarik sokongan pengundi Melayu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari daripada BN meraih 7,308 undi manakala calon PN, Kasim Samat memperoleh 3,260 undi manakala calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri pula 2,032 undi.
RAMPAS
Namun, sekiranya melihat ukuran persepsi, PN dilihat mampu merampas kerusi Pelangai daripada penguasaan BN dengan mengharapkan sokongan pengundi Melayu termasuk undi protes dalam kalangan penyokong UMNO agar memilih calon diketengahkan.
Hal ini kerana 70 peratus daripada 16,456 pengundi Pelangai merupakan kaum Melayu di samping 48 peratus pengundi adalah peneroka Felda sekali gus memberi saingan sengit kepada BN dan PN untuk meraih sokongan antara dua kelompok itu.
Apatah lagi wujud pertembungan antara dua parti Melayu iaitu antara UMNO dan Pas di samping BN dan PN masing-masing meletakkan dua muka anak tempatan Felda iaitu Amizar dan Kasim atau lebih dikenali Cikgu Kasim.
Tambahan pula, siri ceramah dan kempen PN masih menggunakan isu lama antaranya Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan dan kerjasama politik antara UMNO dan DAP bagi membentuk kerajaan, secara tidak langsung mampu mempengaruhi sokongan Melayu.
Berbanding BN pula, mereka dilihat cuba menangkis serangan tersebut dengan menjelaskan kerjasama BN dan PH bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara yang masih dibelenggu ketidaktentuan pasaran ekonomi.
Namun sejauh mana usaha corak kempen tersebut dapat memikat pengundi Pelangai hanya diketahui pada malam Sabtu ini selepas keputusan rasmi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kadangkala penduduk tidak peduli sangat retorik politik, yang mereka tahu apakah tawaran pembangunan untuk seluruh warga Pelangai yang masih dihimpit masalah kemudahan asas dan infrastruktur.
Namun paling penting bagaimana prestasi calon yang menang boleh menggalas tugas sebagai wakil rakyat Pelangai, bukannya membabitkan dari segi ukuran sentimen dan persepsi semata-mata. – UTUSAN










