PETALING JAYA: Malaysia akan berhadapan dengan krisis kependudukan apabila pasangan muda memilih untuk memiliki keluarga kecil dengan hanya dua atau tiga orang anak ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jika situasi ini berlaku, masalah pertama yang dihadapi ialah Malaysia akan menjadi negara tua ekoran penurunan jumlah kelahiran yang menyebabkan warga emas melebihi generasi muda.
Keadaan ini akan menjejaskan ekonomi kerana produktiviti akan merosot kerana warga pencen tidak lagi produktif untuk menggerakkan ekonomi.
Kecenderungan pasangan muda untuk memiliki keluarga kecil juga akan menjejaskan sasaran 70 juta penduduk yang mana ini akan menyebabkan saiz ekonomi negara kekal kecil dan sukar untuk bersaing dengan negara-negara mempunyai rakyat yang ramai.
Pasangan muda membuat pertimbangan untuk memiliki keluarga kecil supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dan mampu menguruskan perbelanjaan dengan baik.
Tinjauan Utusan Malaysia dalam kalangan generasi muda mendapati mereka tidak mahu memiliki keluarga besar atau anak yang ramai kerana bimbang bakal berhadapan dengan tekanan ekonomi.
Sedangkan Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk 70 juta berdasarkan saiz negara kerana ia menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri tempatan, mewujudkan persaingan dalam pasaran dan meninggikan daya serta mutu pengeluaran eksport bagi meningkatkan ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Jumlah penduduk ketika ini 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022 dengan pertumbuhan kecil 0.7 peratus disebabkan peningkatan bilangan bukan warganegara daripada 2.5 juta (2022) kepada 3.0 juta (2023).
Penduduk warganegara hanya meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta pada 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Nadiatul Husna Zulkifly, 23, berkata, sebagai pasangan yang baru berkahwin, perancangan keluarga perlu diberikan penekanan kerana kos perbelanjaan kian meningkat apatah lagi tinggal di bandar besar.
Melangsungkan perkahwinan kira-kira dua bulan lalu dan tinggal di Puncak Alam, Shah Alam, disebabkan itu, beliau dan suaminya yang bekerja sebagai Perunding Jualan merancang mengehadkan jumlah anak kepada dua orang sahaja.

“Faktor kewangan mempengaruhi keputusan kami untuk merancang jumlah isi rumah. Kos sara hidup yang semakin meningkat merisaukan kami untuk mempunyai ramai anak kerana perbelanjaan bagi setiap seorang menelan jumlah besar.
“Harga barang saban hari semakin meningkat ditambah dengan perbelanjaan seperti lampin dan susu untuk anak yang masih kecil,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, seorang pelajar, Nur Natasya Nadia Zahari, 22, yang bakal melangsungkan perkahwinan awal tahun 2024 berkata, pelbagai aspek khususnya berkaitan kedudukan kewangan perlu diambil kira dalam merancang keluarga termasuk jumlah anak.
Malah katanya, memandangkan masih bergelar pelajar, dia dan pasangan membuat keputusan tidak mempunyai anak sehingga kedua-dua mereka memperoleh pendapatan yang secukupnya.
“Bakal suami perlu menanggung kos pengajian serta perbelanjaan keluarga sendirian. Keadaan ekonomi sekarang belum mengizinkan kami untuk mempunyai anak lebih awal.
“Kami rancang maksimum dua orang anak, perbelanjaan keluarga pasti meningkat bagi membeli keperluan bayi termasuk pembiayaan khidmat pengasuh,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Puteri Maisarah Abdul Aliy, 20, berkata, perkahwinan di usia muda memerlukan komitmen tinggi bukan sahaja dari segi kewangan malah mental.
“Sekiranya berumah tangga, besar tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kedua-duanya tambah lagi apabila mempunyai tanggungan malah kos pembiayaan untuk setiap seorang anak memerlukan jumlah yang besar.

“Jadi, saya merancang mahu hadkan dua anak sahaja,” katanya.
Mengulas hal ini, Pakar Psikologi Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Marani Md. Nor berkata, Malaysia terpaksa berhadapan isu kekurangan sumber tenaga muda kerana ramai pasangan berkahwin memilih untuk merancang keluarga.
“Dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat, ramai pasangan pilih untuk mempunyai seorang atau dua sahaja anak, jadi kita memang bakal berhadapan masalah kurang sumber tenaga muda,” katanya
Dr. Marani berkata, produktiviti negara juga akan terjejas teruk disebabkan kekurangan sumber tenaga yang semakin berkurang dan tidak dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam meningkatkan aspek sosial dan ekonomi dalam negara.
“Produktiviti negara memang akan terjejas, dari sudut ekonomi, kesihatan, pembangunan dan lain-lain. Jadi mekanisme dalam menyelesaikan masalah ini perlu difikirkan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, kerajaan harus mengambil langkah berkesan bagi meningkatkan semula kadar pertumbuhan kesuburan dengan segera.
“Kerajaan mungkin boleh mengurangkan beban rakyat dengan meningkatkan subsidi asas kepada golongan yang memerlukan seperti makanan, pendidikan dan perumahan bagi menggalakkan kewangan rakyat.
“Langkah ini mungkin boleh menggalakkan pasangan terutamanya untuk menambah bilangan anak bagi setiap keluarga,” jelasnya. – UTUSAN










