SEREMBAN: Mangsa korban serangan bom rejim Zionis di Gaza yang juga calon ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Allahyarham Mohammed J. H. Alzaanin tidak sempat menghantar pembetulan bagi pembentangan tesis (Viva) kepada pensyarah penyelianya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan USIM, Dr. Ibrahim Fahad Sulaiman yang juga penyelia PhD berkata, dia sudah mengenali Allahyarham sejak empat tahun lalu dan menyifatkan Mohammed seorang pelajar yang merendah diri, namun mempunyai semangat yang tinggi.
“Pada 3 Julai lalu, arwah (Mohammed) selesai menjalani program susulan selepas tesis iaitu Viva dan dia menangis kegembiraan kerana akhirnya dia dapat menyelesaikan Viva. Bagaimanapun, dia tidak sempat menghantar pembetulan (viva) pada saya.
“Pada 10 September lalu, dia sempat menghantar gambar swafoto ketika dalam penerbangan pulang ke Palestin. Itu kali terakhir kami berhubung dan saya amat terkejut dengan berita pemergian beliau dan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin , Pusat Komunikasi Strategik USIM dalam kenyataan memaklumkan, dua pelajar pascasiswazah universiti itu yang juga pasangan suami isteri adalah antara mangsa yang terkorban dalam serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, kelmarin.
Kedua-duanya calon PhD Pengurusan Sumber Manusia, Mohammed J. H. Alzaanin dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen yang merupakan pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi, USIM.
Mereka terkorban dalam serangan bom di Bait Hanon kira-kira pukul 8 pagi, Ahad.
Turut terkorban, empat anak mereka manakala seorang lagi dilaporkan terselamat.
“Perkara ini disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq.
“Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam, turut terkorban ialah 20 ahli keluarga mangsa dalam serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza itu,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










