BALING: Seorang penduduk di Taman Desa Bidara di sini mendakwa melihat kelibat dua lelaki memasuki rumah jirannya sebelum terdengar bunyi mengerang kesakitan sewaktu dia sedang berehat di rumahnya, kelmarin.
Che Siah Omar, 49, berkata, pada awalnya, dia beranggapan mereka ialah orang sama yang sering datang menghantar makanan atau keperluan harian mangsa, tetapi agak pelik selepas melihat suspek terburu-buru meninggalkan rumah itu kira-kira lima minit kemudian.
“Lebih kurang pukul 3 petang semalam, saya sedang berehat di atas buaian dan terdengar bunyi enjin sebuah motosikal berhenti di hadapan rumah jiran. Saya tinjau dan mendapati dua lelaki memasuki rumah mangsa sebelum terdengar suara orang mengerang kesakitan dalam rumah itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Che Siah merupakan jiran kepada mangsa, K. Sanggadevan, 71, yang ditemukan mati dalam keadaan kaki dan tangannya diikat manakala lehernya dijerut dengan kain pelikat dalam kejadian samun di kawasan perumahan itu.
Mangsa yang tinggal seorang diri sejak kematian isterinya lebih lapan tahun lalu ditemukan tertiarap di atas katil bilik utama rumahnya.
Menurut Che Siah, selepas melihat dua lelaki itu meninggalkan rumah jirannya, dia segera menelefon mangsa, tetapi tidak berjawab sebelum mengajak suaminya Mohd. Zaidi Ghazali, 50, untuk melihat keadaan warga emas terbabit.
“Selain kami berdua, saya mengajak seorang lagi jiran memasuki rumah mangsa dan terkejut melihat dia dalam keadaan tertiarap dengan kaki dan tangannya diikat serta lehernya dijerut.
“Suami kemudian memegang bahu mangsa tetapi tiada tindak balas menyebabkan dia menelefon pihak polis,” katanya.
Kata Che Siah, mangsa yang merupakan bekas tukang kebun sebuah kilang di Kuala Ketil mempunyai dua anak lelaki yang masing-masing tinggal di Sungai Petani serta Singapura dan merupakan jirannya sejak lebih 20 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, siasatan mendapati tempat kejadian adalah sebuah rumah teres setingkat dan berpagar serta tidak mempunyai kesan pecah masuk.
“Melalui pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mendapati dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna gelap dipercayai suspek telah keluar dari rumah tersebut.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati seutas rantai emas, sebentuk cincin yang dipakai selain dompet milik mangsa didapati sudah tiada,” katanya. – UTUSAN










