PETALING JAYA: Kerajaan didakwa kurang proaktif mengatasi masalah ekonomi termasuk berkaitan pelaburan bernilai beratus bilion yang diumumkan sebelum ini.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, menteri bertanggungjawab mengendalikannya tidak seharusnya bergantung kepada pengumuman melalui sidang media atau di laman media sosial semata-mata.
Katanya, kementerian terlibat harus mengambil tindakan susulan selepas pengumuman pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negarsa.
“Pelbagai MoU (perjanjian persefahaman) ditandatangani bersama pelbagai negara dari pelbagai sektor.
“Namun, apakah tindakan susulan telah dilakukan? Tindakan menteri-menteri tidak mencukupi jika hanya bersandarkan kenyataan melalui sidang media atau di media sosial, mesti diperlihatkan dan rakyat merasai hasil tindakan tersebut,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata, sukar untuk melihat perkara menarik dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.
“Saya secara peribadi pun merasakan sukar untuk mengenal pasti key take-away yang utama daripada belanjawan yang dibentangkan.
“Menteri-menteri pun kelihatan tidak minat dan kehadiran dalam dewan ini pun seolah-olah tidak peduli untuk mendengar perbahasan bajet. Hal ini membimbangkan kita sebagai ahli-ahli Dewan yang mulia ini,” katanya.
Hishammuddin menegaskan, beliau hanya mahu kerajaan memahami denyut nadi dan kepayahan yang dirasai rakyat apabila membangkitkan perkara itu di dalam perbahasannya.
“Saya di sini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan mesti dilihat sebagai pihak yang mampu memberikan harapan dan sandaran kepada rakyat.
“Letaklah diri di tempat mereka, rasai kesusahan dan fikirkan kebimbangan mereka, bukan sekadar formula semata-mata. InsyaAllah, tindakan itu akan seiring dengan apa yang diperlukan dan diharapkan oleh rakyat,” tegasnya. – UTUSAN










