KOTA KINABALU: Setiap kali hujan lebat pasti akan berlaku tanah runtuh hingga menyebabkan satu-satunya jalan yang menghubungkan Pekan Pensiangan ke Pekan Nabawan terputus.
Situasi itu memaksa penduduk menggunakan bot dengan bayaran tambang sehingga RM100 untuk ulang-alik ke Pekan Nabawan atau menunggu selama satu atau dua minggu sehingga laluan darat boleh digunakan semula.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Yarni berkata, apabila menggunakan laluan darat, mereka mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Pensiangan ke Pekan Nabawan.
Namun, apabila berlaku tanah runtuh, mereka terpaksa menaiki bot dari Pekan Pensiangan ke Salung yang mengambil masa selama lima hingga enam jam perjalanan menaiki bot.
“Apabila jalan terputus, kami hanya akan keluar sekiranya ada keperluan mendesak bagi membeli barang keperluan harian kerana perjalanan agak mencabar.
“Semasa musim hujan, penduduk terpaksa tunggu sehingga air surut sedikit baru boleh naik bot untuk ke Salung dan kemudian menaiki kenderaan ke Pekan Nabawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi penduduk yang tidak memiliki bot sendiri, mereka perlu membayar tambang pada kadar RM100 ulang-alik dari Pensiangan ke Salung.
Mengulas lanjut katanya, anak-anak yang bersekolah pula menaiki bot setiap hari ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pensiangan yang mengambil masa perjalanan selama 30 minit.
Kadar tambang RM40 untuk perjalanan pergi dan balik.
Namun, apabila air sungai naik akibat hujan, kebanyakan murid tidak akan bersekolah kerana terlalu bahaya untuk meredah arus sungai deras.
Sementara itu, Ketua Anak Negeri Mukim Pensiangan, Atar Andipoh berkata, 4 September lalu, jambatan menghubungkan beberapa kampung di Pensiangan mengalami kerosakan akibat tanah runtuh sehinngga menyebabkan penduduk yang terjejas terputus hubungan luar.
Maka, penduduk terpaksa menggunakan bot sekiranya ada keperluan mendesak untuk ke Pekan Nabawan atau Keningau melalui Sungai Tagol dan Sungai Logongon.
“Bot tambang dari Pekan Pensiangan ke Salung kira-kira RM100 tapi, apabila membawa barangan terlalu banyak dan perlu menyewa sebuah bot, penduduk perlu membayar kos tambahan kira-kira RM450,” katanya.
Atar berkata, jalan tanah merah menuju ke kampung-kampung di Pensiangan sudah banyak penambahbaikan berbanding dahulu. Namun, apabila musim hujan, keadaan jalan agak berlumpur dan banyak jalan tidak dapat dilalui akibat tanah runtuh. – UTUSAN










