ALOR SETAR: “Saya sudah mencuba pelbagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi di bendang tetapi hasilnya tetap sama dan tidak pernah mencapai tahap optimum.
Ini adalah cabaran yang dihadapi seorang pesawah, Abu Ilyas Abdul Wahab, 57, yang turut dikongsi 248,000 petani yang mengusahakan sawah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berhubung pengeluaran beras tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abu Ilyas berkata, penyelidikan padi bagi mempertingkatkan hasil beras negara tidak dapat direalisasikan selagi mereka dibelenggu isu kelewatan baja, benih serta sistem pengairan yang tidak cekap.
Katanya, selagi perkara-perkara asas itu tidak diselesaikan, hasil penyelidikan yang sepatutnya memberikan manfaat tidak dapat diaplikasikan.
“Nak tanam sampai lima, enam kali padi dalam tempoh dua tahun pun kami tidak ada masalah kerana kami memang sepenuh masa turun ke bendang tetapi apakah ada jaminan semua pihak dapat mematuhi jadual penghantaran benih dan baja agar pesawah dapat mematuhi jadual penanaman ditetapkan,” katanya di sini, semalam.
Isu kekurangan bekalan beras tempatan masih membelenggu negara walaupun pelbagai usaha jangka pendek dibuat bagi memastikan rantaian makanan ruji penduduk itu tidak terjejas.
Ini termasuk melaksanakan empat langkah intervensi tambahan antaranya menyerap harga beras putih import bagi menangani masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan.
Selain itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut diarahkan meningkatkan kapasti pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk ke kedai-kedai runcit.
Dalam pada itu, Abu Ilyas yang mengusahakan kira-kira 20 hektar sawah padi berkata, dia sendiri mencuba pelbagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi di petak bendangnya tetapi tetap tidak mencapai tahap yang optimum.
“Jika musim pertama pun sudah ada masalah memang ia akan terus berlanjutan sampai musim-musim seterusnya yang sudah tentu akan menjejaskan hasil pengeluaran beras negara,” katanya.
Katanya, walaupun isu berkaitan baja dan benih tidak lagi seteruk suatu ketika dahulu tetapi masalah itu kadang-kala masih berlaku di sesetengah kawasan yang sudah tentu menganggu jadual penanaman padi.
“Kita tak perlu susah-susah fikir bagaimana saintis China boleh tanam padi di padang pasir di Dubai kerana mereka sudah tentu beratus-ratus langkah ke hadapan berbanding kita yang masih ada kekangan-kekangan asas.
“Meskipun kerajaan dan agensi-agensinya sejak daripada dahulu cuba menaik taraf atau menambah baik sistem yang sedia ada tetapi kita belum nampak hasil yang baik untuk pesawah dan pihak-pihak yang berada dalam industri ini,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Muhaimin Khalid, 42, berkata, dia hanya mewarisi kaedah tanaman padi yang ditinggalkan arwah bapanya tanpa ada sebarang pembaharuan yang boleh dilakukan untuk menambah baik sistem sedia ada.
“Sejak awal membantu ayah dahulu beginilah caranya sehinggalah mengambil alih sepenuhnya mengusahakan sawah padi. Banyak mana padi yang dihasilkan sejak dahulu itulah sahaja jumlahnya walaupun kadang kala ada peningkatan tetapi tidaklah ketara.
“Saya berharap kerajaan atau mana-mana pihak serius untuk meletakkan tanaman padi tempatan ini sebagai keutamaan yang sewajarnya kerana kita mempunyai banyak tanah sawah yang boleh menyumbang kepada pengeluaran beras tempatan yang sudah tentu akan menarik minat golongan muda meneruskan penanaman ini sebagai kerjaya utama,” katanya.
Di Perlis, belum reda isu beras, soal kenaikan mendadak harga benih padi didakwa sehingga satu kali ganda daripada RM35 sehingga RM60 terus meresahkan golongan pesawah.
Di sebalik peningkatan harga benih, harga padi pula dikatakan kembali turun daripada RM1,700 kepada RM1,250 bagi satu tan metrik.
Situasi tersebut mengecewakan pesawah yang bakal memulakan tanaman musim baharu tidak lama lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah dari Balik Bukit, Mohd. Nazri Subuh, 48, berkata, kenaikan harga benih padi menyebabkan dia terpaksa menambah kos untuk input berkenaan lebih RM1,000.
Katanya, sebelum ini, kos benih padi yang dibeli bagi tanaman di kawasan bendang miliknya berkeluasan lima hektar adalah sekitar RM1,200 atau RM1,500, namun kini dia perlu mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM2,500 bagi 40 kampit input berkenaan.
Dia juga tidak menolak kemungkinan selepas ini mungkin akan berlaku lagi kenaikan membabitkan input pertanian lain seperti racun. – UTUSAN










